Skip to main content

Dunia

Dua lagi maut disyaki diserang beruang di Jepun

41752399683_BrownBear.jpg
Risiko berdepan beruang yang keluar daripada hibernasi telah menyebabkan penduduk dan pemilik perniagaan dalam kebimbangan terutamanya di timur laut yang menjadi lokasi kebanyakan kes tahun lepas. - Gambar hiasan

TOKYO: Dua ditemui maut di timur laut Jepun disyaki diserang beruang awal minggu ini, lapor Kyodo News.

Kes itu, yang jika disahkan akibat serangan haiwan tersebut, akan menjadi kes kematian ketiga tahun ini.

Sebelum ini, dua kes yang disyaki serangan beruang dilaporkan di wilayah Iwate dan Yamagata.

Serangan beruang yang menyebabkan kematian berlaku pada kadar lebih pantas berbanding tahun lepas.

Risiko berdepan beruang yang keluar daripada hibernasi telah menyebabkan penduduk dan pemilik perniagaan dalam kebimbangan terutamanya di timur laut yang menjadi lokasi kebanyakan kes tahun lepas.

Seorang wanita berusia 55 tahun yang ditemui maut di Shiwa, Iwate, pada 21 April disahkan terbunuh dalam serangan beruang yang menyebabkan kematian pertama di Jepun tahun ini, menurut data Kementerian Alam Sekitar.

Pada Khamis, mayat seorang wanita berusia 69 tahun di Hachimantai, Iwate, ditemui di kawasan hutan berhampiran rumahnya dengan kesan calar pada muka dan kepala, menurut polis.

Dua hari sebelum itu, seorang lelaki berusia 78 tahun ditemui meninggal dunia di kawasan hutan di Sakata, Yamagata, dengan kecederaan pada kepala dan lengan.

Pasukan pencari yang menemui mayat itu melihat seekor beruang keluar dari hutan, mendorong seorang pemburu membunuh haiwan berkenaan, menurut polis.

Kedua-dua mangsa keluar untuk mengumpul hasil hutan yang boleh dimakan.

Data kementerian menunjukkan 13 orang terbunuh dalam serangan beruang tahun lepas, dengan kes pertama disahkan pada Jun diikuti tiga lagi pada bulan berikutnya.

Daripada jumlah itu, 10 berlaku di wilayah Akita, Iwate dan Miyagi, kesemuanya di timur laut Jepun.

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video