PATTANI: Polis Thailand mengesahkan penahanan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam insiden berbalas tembakan dan letupan bom di sebuah kedai serbaneka di daerah Mayo, wilayah Pattani, malam tadi.
Jurucakap keselamatan Thailand berkata kedua-dua suspek ditahan pasukan keselamatan susulan kejadian di premis 7-Eleven di Ban Ta Bae, Moo 3, daerah kecil Langa, kira-kira jam 8 malam waktu tempatan.
Menurutnya, sepasukan empat anggota polis diketuai Leftenan Kolonel Polis Yutthana Thongsong sedang menjalankan rondaan rutin di kawasan Talad Palat sebelum mengesan kehadiran empat individu mencurigakan.
Keempat-empat suspek dilihat berada di hadapan premis serbaneka tersebut sambil mengarahkan pekerja dan pelanggan keluar dari bangunan berkenaan.
Pasukan peronda kemudian menghentikan kenderaan mereka dan melepaskan satu das tembakan amaran bagi melindungi keselamatan orang awam di kawasan berhampiran.
Tindakan itu mencetuskan pertempuran bersenjata apabila kumpulan suspek melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.
Akibat pertempuran itu, sebuah kenderaan berperisai polis mengalami kerosakan akibat terkena peluru sebelum satu bom buatan sendiri meletup di dalam premis berkenaan.
Jurucakap keselamatan berkata anggota polis turut cuba menghalang suspek dengan merempuh kenderaan yang digunakan kumpulan tersebut, namun mereka berjaya melarikan diri.
Bagaimanapun, dua suspek berjaya dikesan dan ditahan selepas pihak polis menemui kesan darah yang dipercayai milik seorang penyerang yang cedera, selain beberapa kelongsong peluru di sekitar lokasi kejadian.
Pemeriksaan terhadap telefon pintar yang dirampas daripada suspek menemukan maklumat digital yang dipercayai mengandungi rekod pergerakan dan lokasi penugasan anggota keselamatan Thailand.
Katanya, pihak berkuasa Thailand sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek yang ditahan terbabit secara langsung dalam serangan berkenaan, selain berusaha mengenal pasti individu lain yang terlibat.