[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
DUNIA

Dua mangsa dikenal pasti, operasi buru penembak Universiti Brown diteruskan

Astro Awani 15/12/2025 | 23:40 MYT
Anggota Pasukan Tindak Balas Bukti FBI mencari bahan bukti berhampiran kampus Universiti Brown. - Foto AP
PROVIDENCE: Dua pelajar yang maut dalam insiden tembakan di Universiti Brown pada Sabtu lalu telah dikenal pasti ketika pihak berkuasa meneruskan operasi memburu suspek yang masih bebas.

Mangsa dikenali sebagai Ella Cook, pelajar tahun kedua dari Alabama yang juga naib presiden cawangan Brown College Republicans, dan Mukhammad Aziz Umurzokov, pelajar tahun pertama dari Uzbekistan yang bercita-cita menjadi pakar bedah saraf.

Insiden tembakan yang berlaku di kampus universiti di Providence, Rhode Island itu turut mencederakan sembilan individu lain dan disifatkan sebagai serangan paling tragik dalam sejarah institusi berprestij tersebut.

Pihak berkuasa telah menahan seorang individu sebagai “orang berkepentingan” dalam siasatan, namun membebaskannya selepas bukti tidak mencukupi untuk menahan lanjut.

Operasi memburu suspek utama kini diteruskan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang.

Universiti Brown telah membatalkan semua kelas semester musim luruh yang masih berbaki dan mengadakan majlis nyalaan lilin memperingati mangsa di Taman Memorial Lippitt pada Ahad malam.

Insiden ini sekali lagi mencetuskan perdebatan nasional mengenai kawalan senjata api dan keselamatan pelajar di kampus universiti di seluruh Amerika Syarikat.






#Universiti Brown #pelajar #mangsa #suspek