LONDON: Pihak berkuasa kesihatan United Kingdom (UK) mengesahkan dua individu maut manakala sekurang-kurangnya 11 yang lain berada dalam keadaan kritikal susulan penularan wabak meningitis invasif yang dikesan di daerah Kent.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mangsa yang maut melibatkan seorang pelajar Universiti Kent dan seorang pelajar tingkatan enam dari sebuah sekolah menengah di Faversham, lapor BBC.
Advertisement
Setakat ini, sebanyak 13 kes jangkitan bakteria meningokokus telah dikenal pasti dengan majoriti pesakit terdiri daripada golongan dewasa muda berusia antara 18 hingga 21 tahun yang kini sedang menerima rawatan intensif di hospital.
Siasatan awal mendapati penularan wabak berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan satu acara sosial atau kunjungan ke sebuah kelab malam di Canterbury baru-baru ini.
Susulan insiden itu, pihak Universiti Kent telah mengambil langkah drastik dengan membatalkan semua peperiksaan secara bersemuka minggu ini, selain mengarahkan lebih 30,000 pelajar dan kakitangan untuk memantau status kesihatan masing-masing secara rapi.
Pasukan perubatan kini sedang giat mengedarkan antibiotik pencegahan kepada kontak rapat mangsa bagi mengekang penularan lebih meluas di kawasan sekitar.
Orang awam turut dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan kecemasan sekiranya mengalami simptom seperti demam panas, sakit kepala yang teruk, leher kaku, atau muncul ruam merah yang tidak pudar apabila ditekan dengan gelas.