[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
DUNIA

Dua maut dalam banjir kilat di New York City

Astro Awani 31/10/2025 | 08:20 MYT
Dua lelaki maut akibat banjir kilat di New York City susulan hujan lebat luar biasa yang menenggelamkan jalan, pengangkutan awam dan kediaman. -Gambar fail/AP
NEW YORK: Dua lelaki dilaporkan maut selepas terperangkap dalam banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di New York City, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, susulan hujan lebat luar biasa yang menyebabkan jalan raya, sistem pengangkutan awam dan kediaman ditenggelami air.


Ringkasan AI
  • Dua lelaki maut akibat banjir kilat di New York City susulan hujan lebat luar biasa yang menenggelamkan jalan, pengangkutan awam dan kediaman.
  • Mangsa ditemui di ruang bawah tanah di Brooklyn dan Manhattan, dipercayai lemas selepas terperangkap dalam air banjir.
  • Datuk Bandar Eric Adams menyatakan insiden ini sebagai peringatan untuk memperkukuh infrastruktur bandar bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.


Menurut Jabatan Polis New York (NYPD), mangsa pertama, seorang lelaki berusia 39 tahun, ditemui maut di ruang bawah tanah sebuah rumah tiga tingkat di Brooklyn selepas pasukan penyelamat menerima laporan orang terperangkap sekitar jam 4.30 petang waktu tempatan.

Mangsa kedua, lelaki berusia 43 tahun, pula ditemui mati di ruang dandang di tingkat bawah tanah sebuah bangunan apartmen di Manhattan, dipercayai akibat lemas.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran banjir kilat untuk kawasan Brooklyn, Queens dan Bronx sehingga jam 5.30 petang, selepas sistem ribut kuat membawa hujan lebat melebihi lima sentimeter dalam tempoh beberapa jam.

Video tular di media sosial menunjukkan jalan-jalan utama dan stesen kereta api bawah tanah ditenggelami air, manakala kenderaan dilihat terkandas dan hanyut di beberapa kawasan termasuk Bedford–Stuyvesant, Brooklyn.

Pihak berkuasa tempatan turut mengerahkan pasukan penyelamat termasuk unit penyelam bagi membantu operasi menyelamat dan pemindahan penduduk yang terjejas.

Datuk Bandar New York, Eric Adams, dalam kenyataan media menyatakan bahawa perubahan iklim telah meningkatkan kekerapan kejadian cuaca ekstrem di bandar raya itu.

“Insiden ini mengingatkan kita bahawa infrastruktur bandar perlu diperkukuh bagi menghadapi cabaran iklim masa depan,” katanya.

Setakat ini, tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian tersebut.







#banjir kilat #New York #hujan lebat luar biasa #Datuk Bandar Eric Adams