Dua maut dalam letupan rumah jagaan di Pennsylvania

Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan maut manakala beberapa lagi cedera selepas berlaku letupan yang menyebabkan sebahagian bangunan rumah jagaan di negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat runtuh.
PENNSYLVANIA : Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan maut manakala beberapa lagi cedera selepas berlaku letupan yang menyebabkan sebahagian bangunan rumah jagaan di negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat runtuh.
Pasukan kecemasan bergegas ke Rumah Jagaan Silver Lake di Bristol sekitar jam 2 petang waktu tempatan (7 malam GMT) pada Selasa selepas menerima laporan bau gas.
Sebaik mereka tiba, bangunan tersebut meletup dan menyebabkan kebakaran besar, menurut pihak berkuasa.
Lima individu masih belum ditemui, namun pihak berkuasa tidak pasti sama ada mereka berada di dalam bangunan.
Beberapa mangsa berjaya diselamatkan.
Gabenor Josh Shapiro memaklumkan, jumlah sebenar mangsa yang cedera masih belum diketahui dan punca letupan sedang disiasat.
Dalam kekecohan akibat letupan dan kebakaran itu, anggota penyelamat menarik keluar penghuni melalui tingkap, tangga dan lif sebelum membawa mereka ke tempat selamat, kata Ketua Bomba Kevin Dippolito.
“Terdapat seorang pegawai polis yang sanggup memikul dua orang mangsa di bahunya dan berlari mendapatkan pasukan perubatan,” katanya.
Beberapa mangsa turut terperangkap di ruang bawah tanah bangunan yang runtuh sebelum berjaya diselamatkan, tambah Dippolito.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan sehingga lewat malam Selasa.
Imej dan video yang dikongsi di media sosial oleh media tempatan menunjukkan sebahagian bangunan runtuh dengan api marak keluar dari struktur tersebut.
Shapiro turut memuji kerjasama pihak berkuasa di sekitar kawasan yang segera tampil membantu, selain mengagumi sikap penduduk berhampiran rumah jagaan itu.
“Kami lihat penduduk keluar dari rumah masing-masing untuk menawarkan bantuan. Inilah cara masyarakat Pennsylvania - jiran membantu jiran ketika saat memerlukan,” katanya.
Beliau turut menyampaikan doa buat komuniti berkenaan, mereka yang masih hilang, yang cedera serta keluarga yang bakal menyambut Krismas dengan kerusi kosong di meja makan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


