DAMMAM: Dua individu terbunuh manakala lapan lagi cedera dalam serangan yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, hab industri minyak utama Arab Saudi, pada Rabu malam.
Menurut agensi berita Reuters, pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) memaklumkan mangsa yang maut ialah seorang warganegara Arab Saudi dan seorang warga India.
Menurut pihak berkuasa itu, lapan mangsa yang cedera mengalami pelbagai tahap kecederaan, daripada ringan hingga serius.
Bagaimanapun, operasi lapangan terbang telah kembali beroperasi seperti biasa dan trafik udara kini berjalan normal.
Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi tidak menamakan pihak yang bertanggungjawab di sebalik serangan berkenaan.
Namun, insiden itu berlaku ketika kumpulan Houthi di Yemen yang disokong Iran meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi.
Pertempuran antara pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi dan kumpulan Houthi juga dilaporkan semakin memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sekali gus membuka satu lagi medan konflik yang dikaitkan dengan perang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Sebelum ini, kumpulan Houthi berulang kali menyasarkan lapangan terbang di Arab Saudi, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh, selain menyerang kemudahan milik syarikat minyak negara, Saudi Aramco.
Dalam perkembangan berkaitan, media antarabangsa melaporkan Amerika Syarikat (AS) telah mengarahkan kakitangan Kedutaan AS yang tidak penting serta ahli keluarga mereka supaya meninggalkan Arab Saudi.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott, berkata langkah itu diambil susulan peningkatan serangan oleh kumpulan Houthi terhadap Arab Saudi, termasuk yang menyasarkan lapangan terbang dan infrastruktur kritikal lain.
Menurut beliau, serangan berkenaan telah menyebabkan kematian, kecederaan serta menjejaskan pergerakan dan operasi perjalanan di negara itu.
Pihak berkuasa Arab Saudi dan AS terus memantau situasi keselamatan semasa berikutan kebimbangan konflik yang semakin meruncing di rantau Asia Barat.