DUNIA

Dua maut pesawat kargo dari Dubai terbabas ke laut di Lapangan Terbang Hong Kong

Agensi 19/10/2025 | 23:30 MYT
Pesawat Emirates SkyCargo yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Turkiye, Air ACT, dilapor gagal dikawal sebaik mendarat di landasan utara 07R selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum di Dubai. - Gambar Flightradar
HONG KONG: Dua kakitangan lapangan maut selepas sebuah pesawat kargo yang tiba dari Dubai terbabas dari landasan dan menjunam ke laut di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.53 pagi itu, pesawat Emirates SkyCargo penerbangan EK9788 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Turkiye, Air ACT, dilapor gagal dikawal sebaik mendarat di landasan utara 07R selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum (DWC) di Dubai.

Pesawat Boeing 747-481 (BDSF) dengan nombor pendaftaran TC-ACF itu dilapor terbabas ke arah kiri ketika proses pendaratan sebelum separuh bahagian badannya terjunam ke dalam laut berhampiran hujung landasan.

Menurut sumber, pesawat berkenaan turut melanggar sebuah kenderaan perkhidmatan darat, menyebabkan salah sebuah tayar kenderaan itu tercabut dan mengalami kerosakan teruk.

Dua pekerja lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut tercampak ke laut akibat hentaman kuat.

Pasukan bomba berjaya menemui kedua-dua mangsa sekitar jam 5 pagi.

Pemandu kenderaan yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital North Lantau namun disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi penumpang disahkan maut di lokasi kejadian.

Empat kru penerbangan yang berada di dalam pesawat berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi menyelamat diteruskan sepanjang pagi dengan kerjasama pasukan bomba, polis marin serta perkhidmatan udara Hong Kong, yang menggunakan bot dan helikopter bagi meninjau kawasan sekitar.

Landasan utara lapangan terbang berkenaan kini ditutup sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Data daripada laman penjejak penerbangan Flightradar24 menunjukkan pesawat EK9788 beralih ke arah kiri secara tiba-tiba selepas mendarat.

Akibat insiden itu, penerbangan Cathay Pacific CX851 yang dijadualkan mendarat selepasnya terpaksa membatalkan pendaratan dan dialihkan ke landasan selatan. - Agensi


#pesawat kargo terbabas #terbabas ke laut #Emirates SkyCargo #EK9788 #Lapangan Terbang Hong Kong