INTERNATIONAL
Dua pendaki maut di Gunung Lhotse, Himalaya

Vago meninggal dunia berhampiran Lhotse Couloir, kawasan curam yang terletak lebih 8,000 meter dari aras laut. - Foto X/Intrepid
NEW DELHI: Dua pendaki maut di Gunung Lhotse, yang terletak berhampiran Gunung Everest banjaran Himalaya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Seorang lelaki warga Romania berusia 48 tahun dikenali sebagai Barna Zsolt Vago, dilaporkan meninggal dunia pada 18 Mei ketika mendaki gunung keempat tertinggi di dunia itu.
Menurut Jabatan Pelancongan Nepal, Vago meninggal dunia berhampiran Lhotse Couloir, kawasan curam yang terletak lebih 8,000 meter dari aras laut.
Vago menyertai ekspedisi anjuran Himalayan Guides Nepal Treks and Expedition dan mendaki tanpa menggunakan sebarang alat bantuan oksigen, menurut kenyataan jabatan itu.Akhbar The Himalayan Times melaporkan Vago merupakan jurukamera berpengalaman yang bekerja dengan stesen televisyen Romania.
Sementara itu, pengendali pelancongan Makalu Adventure memaklumkan seorang lagi pendaki, lelaki warga India berusia 39 tahun, Rakesh Bishnoi dari Rajasthan meninggal dunia pada Ahad ketika menuruni Lhotse setinggi8,516 meter.
Menurut Pengarah Urusan Makalu Adventure Mohan Lamsal, Bishnoi meninggal dunia berhampiran formasi batu Yellow Band ketika menuruni gunung selepas berjaya sampai ke puncak.
Sebelum ini dia pernah membatalkan cubaan mendaki Gunung Everest.
"Bishnoi masih bercakap dan kelihatan sihat sebelum tiba-tiba duduk dan tidak lagi bergerak. Kami menghantar pasukan bantuan tetapi dia telah pun meninggal dunia," kata Lamsal kepada dpa.
Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, seorang lagi pendaki dari India dan seorang dari Filipina turut dilaporkan maut di Gunung Everest setinggi 8,849 meter.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami