Dua pesawat Indonesia rosak teruk selepas bertembung di landasan

Agensi
April 5, 2016 03:00 MYT
Keadaan pesawat TransNusa selepas berlanggar dengan pesawat Batik Air. -The Aviation Herald
Dua pesawat penumpang Indonesia bertembung lewat Isnin di landasan lapangan terbang di sini mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian sayap dan ekor kapal terbang.
Kemalangan itu walau bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan kepada penumpang, kata jurucakap syarikat penerbangan terlibat.
Penerbangan Batik Air yang membawa 49 penumpang dan tujuh anak kapal dalam posisi berlepas dari lapangan terbang Halim Perdanakusuma apabila bergesel dengan pesawat TransNusa, sekali gus mengheretnya di sepanjang landasan.
Jurucakap Lion Air Group, Andy Saladin berkata juruterbang lantas membatalkan penerbangan pesawat Boeing 737-800 itu untuk memastikan keselamatan mereka.
"Semua penumpang dan anak kapal berada dalam keadaan selamat, dan akan diterbangkan menggunakan pesawat gantian," kata Saladin dalam satu kenyataan.
Batik Air merupakan sebahagian daripada Lion Group yang turut memiliki syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Indonesia, Lion Air.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, J.A. Barata juga mengesahkan tiada kemalangan jiwa dan semua penumpang dan anak kapal telah dipindahkan dengan selamat.
Sayap kiri pesawat Batik Air rosak dalam perlanggaran itu manakala ekor pesawat kapal terbang jenis ATR milik TransNusa pula remuk, kata Barata.
Gambar di media sosial menunjukkan tanda terbakar di sekitar bahagian yang rosak, dengan video yang disiarkan di internet menunjukkan api kecil sebelum keadaan berjaya dikawal oleh kru kecemasan.
Barata berkata lapangan terbang di bahagian timur Jakarta -- iaitu terminal tentera dan kerajaan yang turut digunakan untuk beberapa laluan domestik -- akan ditutup buat sementara waktu susulan kejadian.
Edward Sirait, pengarah presiden Lion Air Group, berkata syarikat itu akan menunggu keputusan siasatan rasmi.
Industri pengangkutan udara Indonesia semakin pesat membangun dengan bilangan penumpang domestik meningkat dengan ketara sepanjang dekad yang lalu, namun dibelenggu rekod keselamatan udara yang mengecewakan dan peraturan yang huru-hara.
Pada tahun 2013, sebuah pesawat Lion Air yang dikemudi juruterbang kurang berpengalaman terbabas dari landasan lapangan terbang Bali dan mendarat di permukaan laut.
Pada Disember 2014, pesawat AirAsia terhempas dalam perjalanan dari Surabaya dan Singapura meragut nyawa kesemua 162 penumpang.
#Andy Saladin #barata #Batir Air #Halim perdanakusuma #Lion Air #TransNusa