DUNIA

Dua remaja lelaki mati ditembak di Amsterdam

Bernama 02/01/2026 | 15:55 MYT
Dua remaja lelaki maut ditembak di ibu kota Belanda, Amsterdam pada tengah malam Khamis. - Foto hiasan/Sinar Harian
THE HAGUE: Dua remaja lelaki maut ditembak di ibu kota Belanda, Amsterdam pada tengah malam Khamis, lapor Agensi Berita Xinhua memetik pengesahan pihak polis pada Jumaat.

Menurut hantaran oleh polis Amsterdam di platform media sosial Instagram, anggota bertugas menerima laporan mengenai satu kejadian tembakan kira-kira 11.45 malam waktu tempatan (2245 GMT) pada Khamis.

Unit kecemasan yang tiba di lokasi kejadian menemukan dua mangsa lelaki - masing-masing berusia 16 tahun dari Delft, selatan Belanda dan 18 tahun dari Amsterdam - dengan kesan luka tembakan.

Pegawai polis memberikan pertolongan cemas dan bantuan pernafasan sehingga pasukan perubatan bergerak serta kakitangan ambulans tiba untuk mengambil alih tugas. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut hantaran itu lagi, suspek atau kumpulan suspek yang terlibat telah melarikan diri dari kawasan berkenaan sejurus selepas tembakan dilepaskan.

Satu unit siasatan bersama pasukan pemeriksaan forensik telah melancarkan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.

--BERNAMA-XINHUA




#remaja lelaki #ditembak #Amsterdam #Belanda