23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
DUNIA

Dua remaja perempuan maut atas bumbung kereta api bawah tanah New York

Bernama 05/10/2025 | 11:00 MYT
Dua remaja perempuan maut selepas berada di atas bumbung kereta api bawah tanah yang sedang bergerak di New York pada Sabtu, dipercayai ketika melakukan aksi berbahaya dikenali sebagai "subway surfing". - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Dua remaja perempuan maut selepas berada di atas bumbung kereta api bawah tanah yang sedang bergerak di New York pada Sabtu, dipercayai ketika melakukan aksi berbahaya dikenali sebagai "subway surfing", lapor Anadolu Ajansi.


Ringkasan AI
  • Dua remaja perempuan maut selepas dipercayai melakukan aksi berbahaya -subway surfing- di atas bumbung kereta api bawah tanah yang sedang bergerak di New York.
  • Polis menemukan mangsa di atas kereta api laluan J menuju Brooklyn, manakala Presiden Transit New York menegaskan tindakan itu sangat berisiko dan boleh membawa maut.
  • Calon Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan menyeru masyarakat agar mengambil iktibar daripada tragedi tersebut.


Jurucakap Jabatan Polis New York berkata mangsa ditemukan di atas kereta api laluan J yang menuju ke Brooklyn, namun usia mereka belum dapat disahkan.

Presiden Transit New York, Demetrius Crichlow, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi dan mengingatkan orang ramai mengenai risiko maut aksi "subway surfing", iaitu perbuatan berada di bahagian luar atau atas bumbung kereta api bawah tanah yang sedang bergerak.

"Amat menyedihkan apabila dua remaja perempuan kehilangan nyawa kerana menganggap berada di luar kereta api bawah tanah sebagai satu permainan," katanya dalam kenyataan.

"Para ibu bapa, guru dan rakan perlu menjelaskan kepada orang tersayang bahawa naik ke atas bumbung kereta api bukanlah 'surfing' - ia tindakan yang boleh meragut nyawa," katanya sambil menambah bahawa keluarga mangsa dan kakitangan transit amat terkesan dengan kejadian itu.

Calon Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, turut menyampaikan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa, sambil menyifatkan insiden itu sebagai peringatan jelas tentang bahaya "subway surfing".

-- BERNAMA

#dua remaja perempuan #kereta api bawah tanah New York #aksi berbahaya subway surfing #Polis New York