Dua sukarelawan maut, empat parah bom meletup di Pattani

Bernama
Ogos 1, 2017 08:00 MYT
Dalam satu lagi kejadian pada 5.30 pagi waktu tempatan, lelaki tidak dikenali telah melemparkan sebutir bom buatan sendiri ke atas sebuah pos kawalan keselamatan di Kampung Puyu, Takbai di Narathiwat tetapi tidak menyebabkan kecederaan.
Dua sukarelawan keselamatan tempatan maut manakala empat orang lagi cedera parah apabila sebutir bom yang diletakkan dalam sebuah pondok di hadapan sebuah sekolah di daerah Maikeng, Pattani meletup.
Menurut Ketua Polis Pattani Mej Jen Piyawat Chalermsi, keenam-enam sukarelawan itu sedang mengawal pelajar dan guru sekolah terbabit apabila kejadian itu berlaku pada 9 pagi waktu tempatan.
"Kejadian berlaku apabila bom buatan sendiri seberat 20kg meletup di sebuah wakaf yang terletak di hadapan sekolah," katanya kepada pemberita hari ini dan menambah, semua yang cedera dibawa ke Hospital Maikeng untuk mendapatkan rawatan.
Wakaf yang dibina daripada kayu itu musnah sama sekali akibat letupan bom berkenaan yang diaktifkan menggunakan dengan telefon, kata Piyawat.
Dalam satu lagi kejadian pada 5.30 pagi waktu tempatan, lelaki tidak dikenali telah melemparkan sebutir bom buatan sendiri ke atas sebuah pos kawalan keselamatan di Kampung Puyu, Takbai di Narathiwat tetapi tidak menyebabkan kecederaan.
Di Sungai Golok pula, sebutir bom seberat 20kg yang diletakkan dalam sebuah motosikal meletup dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5.50 pagi tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan kematian, kata jurucakap polis tempatan.
-- BERNAMA
#bom buatan sendiri #cedera #maut #motosikal #Pattani #sekolah #sukarelawan #Sungai Golok