DUNIA

Dua tahun genosid: Ekonomi Palestin runtuh, dihempap derita Gaza

Harits Asyraf Hasnan 06/10/2025 | 23:00 MYT
Ketika ini, 74.3 peratus populasi hidup dalam kemiskinan, melibatkan 4.1 juta rakyat Palestin termasuk 2.6 juta yang baru jatuh miskin. - Gambar fail AP
DUA tahun lalu, dunia menyaksikan dengan penuh pilu apabila tragedi 7 Oktober 2023 mencetuskan konflik paling dahsyat dalam sejarah Palestin, khususnya di Gaza.

Lebih 67,000 nyawa terkorban setakat ini, namun kesan yang lebih berpanjangan dan menyeluruh adalah kehancuran ekonomi Palestin yang kini berada di ambang kelumpuhan total.

Menurut Bank Dunia, menjelang akhir 2024, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Gaza merosot sebanyak 83 peratus, kadar pengangguran melonjak melebihi 80 peratus, manakala hampir keseluruhan infrastruktur termasuk rumah, jalan raya dan hospital musnah.

Lebih 292,000 kediaman dilaporkan musnah atau rosak dan 95 peratus hospital tidak lagi berfungsi.

Harga barang keperluan, khususnya makanan, meningkat sehingga 450 peratus, memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia ada.

Di Tebing Barat, meskipun tidak terlibat secara langsung dalam serangan, kesan ekonomi tetap dirasai.

Biro Perangkaan Pusat Palestin (PCBS) melaporkan, penurunan KDNK sebanyak 16 peratus, selain kehilangan lebih 170,000 permit kerja rakyat Palestin di Israel, sekali gus menjadi satu tamparan besar kepada sumber pendapatan ribuan keluarga.

Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pula menyatakan, konflik ini telah melewatkan pembangunan Palestin sehingga 69 tahun.

Kini, 74.3 peratus populasi hidup dalam kemiskinan, melibatkan 4.1 juta rakyat Palestin termasuk 2.6 juta yang baru jatuh miskin.

Namun, di sebalik kemusnahan, ada sinar harapan.

Pada suku kedua 2025, PCBS melaporkan pertumbuhan KDNK tahunan yang sederhana berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh sektor pertanian dan perdagangan.

Bagaimanapun, ekonomi Palestin masih 29 peratus lebih rendah berbanding tahap sebelum perang, menunjukkan pemulihan yang rapuh dan tidak menyeluruh.

Usaha pembinaan semula sedang digerakkan di peringkat antarabangsa.

Liga Arab telah berikrar untuk menyalurkan bantuan berjumlah AS$50 bilion bagi pemulihan Gaza, merangkumi pembinaan semula infrastruktur, perumahan dan perkhidmatan asas.

Dalam masa sama, pelan damai 20 perkara oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan penubuhan kerajaan teknokrat sementara serta pemantauan antarabangsa bagi menstabilkan wilayah bergolak itu.

Namun, proses pemulihan masih perlahan, terhalang oleh ketiadaan penyelesaian politik yang tuntas.

Tanpa akses pasaran yang bebas, pelaburan dalam modal insan dan jaminan keselamatan, impian untuk melihat Palestin bangkit semula akan terus terhalang.

Dua tahun berlalu, luka 7 Oktober masih belum sembuh.

Tetapi tekad rakyat Palestin untuk membina semula ekonomi dan masa depan negara mereka kekal utuh, menjadi simbol harapan dalam perjuangan yang belum selesai.



#Perang Israel-Hamas #ekonomi Palestin #Tragedi 7 Oktober #luka di Gaza