JAKARTA: Gabungan mahasiswa daripada pelbagai universiti terkemuka di Indonesia turun ke jalanan pada Selasa sempena genap dua tahun pentadbiran Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka.
Memetik laporan Kompas.com, aksi demonstrasi anjuran gabungan Komite Selamatkan Daulat Rakyat (Sadar) itu menyaksikan penglibatan penuntut antaranya dari Universiti Indonesia (UI), Institut Teknologi Bandung (ITB) dan Universiti Gadjah Mada (UGM) yang berhimpun di Tugu Proklamasi serta Tugu Tani, Jakarta Pusat.
Ketua Badan Eksekutif Mahasiswa Universiti Indonesia (BEM UI), Yatalathof Imawan memaklumkan, penuntut kampus lain turut menganjurkan perhimpunan di wilayah masing-masing sebelum bergabung dalam gerakan yang lebih besar.
"BEM UI akan beraksi di Jakarta. Untuk tarikh 20 (Oktober), kampus lain akan bergerak di kawasan masing-masing terlebih dahulu, sebelum kita menggerakkan tindakan bersama secara besar-besaran," katanya seperti dilaporkan portal berita berkenaan.
Yatalathof menegaskan, perhimpunan tersebut bukan lagi bertujuan menilai prestasi kepimpinan semasa sebaliknya menzahirkan rasa kecewa terhadap keadaan negara yang didakwa semakin menekan rakyat.
"Dua tahun pemerintahan yang gagal, untuk apa dinilai lagi? Kita bergerak kerana sudah tiada harapan. Kedaulatan rakyat dirampas oleh penguasa dan ini dapat dilihat daripada pelbagai bentuk ketidakadilan serta penindasan di wilayah-wilayah. Jadi, kita bangkit kerana mahu rakyat kembali berdaulat," tegasnya.
Menerusi perhimpunan berkenaan, gabungan mahasiswa mendesak kerajaan mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah serta bencana banjir sebagai darurat peringkat kebangsaan, di samping menjamin pemulihan kesihatan penduduk terjejas serta membatalkan permit konsesi syarikat korporat yang bertanggungjawab.
Kumpulan itu turut menuntut rombakan terhadap tadbir urus dasar ekonomi bagi memulihkan keyakinan pasaran, selain mendesak pihak berkuasa menghentikan segala sekatan terhadap kebebasan bersuara dan menghapuskan sepenuhnya amalan rasuah, kolusi serta nepotisme.
Pada masa sama, kerajaan digesa meringankan beban rakyat dengan menurunkan kos pendidikan, rawatan kesihatan dan caj utiliti awam, di samping memastikan akses yang saksama kepada seluruh lapisan masyarakat.
Menurut Yatalathof, tuntutan tersebut dirangka berasaskan hasil tinjauan terhadap 560 responden dari Sumatera hingga ke Papua yang menyuarakan keresahan mengenai lonjakan kos sara hidup, kemusnahan kawasan hutan serta ketidaktentuan sektor kewangan negara.
"Hasil dapatan ini menjadi amaran jelas bahawa keresahan rakyat mesti dijawab secara serius. Pemerintah tidak boleh menutup mata terhadap persoalan ekonomi, demokrasi, undang-undang, alam sekitar dan pendidikan," tambah beliau.