DUNIA

Dua tahun serangan Gaza, Palestin terus menuntut keadilan

Astro Awani 06/10/2025 | 23:10 MYT
Serangan udara dan darat menyasarkan kawasan kediaman, hospital, sekolah serta kem pelarian, menyebabkan kemusnahan besar dan penderitaan berpanjangan. - Foto fail
GAZA: Hari ini genap dua tahun sejak tercetusnya serangan besar-besaran Israel ke atas Semenanjung Gaza pada 7 Oktober 2023, yang menandakan permulaan salah satu episod paling berdarah dalam sejarah moden Palestin.

Sejak hari pertama konflik, Gaza menjadi medan pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik sistematik terhadap penduduk Palestin.

Serangan udara dan darat menyasarkan kawasan kediaman, hospital, sekolah serta kem pelarian, menyebabkan kemusnahan besar dan penderitaan berpanjangan.

Menurut angka rasmi, seramai 67,160 rakyat Palestin terbunuh dan 169,679 lagi cedera, dengan majoriti korban terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Ratusan ribu kehilangan tempat tinggal dan hidup dalam kebuluran melampau akibat sekatan berterusan yang menyekat bekalan asas.

Infrastruktur utama Gaza turut musnah, termasuk loji tenaga, sistem bekalan air dan kemudahan kesihatan, menjadikan wilayah itu hampir mustahil untuk didiami.

Walaupun komuniti antarabangsa berulang kali mendesak gencatan senjata dan akses kemanusiaan tanpa halangan, tindakan konkrit masih belum mampu menghentikan kekejaman yang berlarutan.

Dua tahun selepas tragedi itu, rakyat Palestin terus memperjuangkan hak mereka untuk hidup dengan bermaruah, sementara dunia menuntut keadilan bagi mangsa penghapusan etnik yang berterusan tanpa penghujung.






#Gaza #Israel #ulang tahun #genosid