Dua terbunuh dalam serangan terhadap pasukan polio di Pakistan

Dakwat penanda dikenakan pada jari penerima vaksinasi polio di Pakistan. Petugas pogram vaksinasi di Pakistan terdedah kepada serangan pihak yang tidak bertanggungjawab. - AP
ISTANBUL: Sekurang-kurangnya dua orang, termasuk seorang konstabel, terbunuh dalam serangan terhadap pasukan petugas polio di Pakistan pada Selasa, menurut kenyataan pegawai dan polis.
Agensi Anadolu melaporkan serangan itu berlaku di Daerah Bajaur, Wilayah Khyber-Pakhtunkhwa (K-P), mengorbankan seorang anggota polis yang mengawal pasukan polio itu dan seorang orang awam.
Insiden itu berlaku sehari selepas kerajaan melancarkan kempen polio terakhir bagi tahun 2025, yang dijadualkan berlangsung sehingga 21 Disember. Lebih 400,000 petugas vaksinasi dijangka memberikan dua titisan vaksin polio kepada kanak-kanak di bawah usia lima tahun.
Jurucakap polis, Israr Khan memberitahu akhbar Dawn bahawa Konstabel Sajad Ahmed meninggal dunia akibat kecederaan parah, manakala orang awam berkenaan maut ditembak oleh lelaki bersenjata ketika cuba mengejar penyerang terbabit.
Khan berkata penyerang berjaya meloloskan diri dan pihak polis telah melancarkan operasi mencari, sambil menambah bahawa tiada pekerja polio yang cedera dalam kejadian itu.
Ketua Menteri K-P, Sohail Afridi mengecam serangan berkenaan dan berikrar untuk membawa pelaku ke muka pengadilan. Beliau turut menegaskan bahawa kempen vaksinasi itu tidak akan dibiarkan terganggu, menurut satu kenyataan oleh jurucakapnya.
Petugas vaksinasi polio di Pakistan sebelum ini sering menjadi sasaran pengganas. Pada 2024, seramai 20 orang terbunuh dan 53 yang lain cedera semasa kempen imunisasi di wilayah berkenana.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif turut mengutuk serangan berkenaan dan berjanji akan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke mahkamah.
Pakistan mencatatkan 30 kes polio setakat tahun ini, dengan jumlah kes tertinggi di K-P iaitu sebanyak 19 kes.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


