DUNIA

Dua wilayah di selatan China bersiap sedia hadapi Taufan Kajiki

Bernama 23/08/2025 | 10:42 MYT
Pada 11 pagi Sabtu, Hainan mengaktifkan respons kecemasan Tahap Empat bagi kawalan banjir dan taufan, susulan jangkaan tiupan angin kencang dan hujan lebat. - ATCF
HAIKOU/GUANGZHOU: Wilayah Hainan dan Guangdong di selatan China diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga apabila Taufan Kajiki, taufan ke-13 tahun ini, diramal membawa angin kencang serta hujan lebat, lapor Xinhua.

Pada 11 pagi Sabtu, Hainan mengaktifkan respons kecemasan Tahap Empat bagi kawalan banjir dan taufan, susulan jangkaan tiupan angin kencang dan hujan lebat yang dijangka melanda kawasan laut serta pulau-pulaunya, menurut Suruhanjaya Pencegahan, Mitigasi dan Bantuan Bencana wilayah itu.

Sementara itu, ibu pejabat kawalan banjir, taufan dan bantuan kemarau Guangdong turut melancarkan respons kecemasan Tahap Empat untuk kawalan taufan, berikutan keadaan angin yang semakin kencang di perairan wilayah berkenaan.

Menurut Balai Cerap Meteorologi Guangdong, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Semenanjung Leizhou serta kawasan pesisir pantai bandar Maoming, Yangjiang dan Jiangmen antara Ahad hingga Isnin.

Taufan Kajiki terbentuk daripada lekukan tropika di Laut China Selatan pada pagi Sabtu. Pada 8 pagi, pusat taufan itu dikesan kira-kira 770 kilometer (km) di timur Bandar Sanya, Hainan, dengan kelajuan maksimum angin 18 meter sesaat.

Taufan itu diramal terus bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan kira-kira 25 km sejam, sambil kekuatannya semakin meningkat. Ia dijangka mendarat atau melalui kawasan berhampiran pantai selatan Pulau Hainan pada petang Ahad, sebelum menuju ke wilayah pesisir pantai tengah dan utara Vietnam.

-- BERNAMA


#taufan kajiki #selatan China #respons kecemasan #amaran #banjir #angin kencang #bencana