ANKARA: Dunia pada 3 Julai mencatatkan rekod baharu untuk hari paling panas, menurut data Pusat Ramalan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS).

Purata suhu dunia pada tarikh itu mencecah 17.01 Celsius (62.62 F), mengatasi rekod sebelum ini iaitu 16.9 Celsius yang dicatatkan pada Ogos 2016.

Musim panas ini, perubahan iklim mencetuskan gelombang haba yang melampau di seluruh dunia, mencetuskan amaran cuaca dan meragut banyak nyawa, menurut Agensi Anadolu.

Dari Amerika Utara hingga ke Eropah, Asia dan Timur Tengah, banyak negara sedang bergelut dengan suhu yang terik.

Di AS, amaran telah dikeluarkan di seluruh negara kerana panas terik dan kelembapan yang menyelubungi di kebanyakan wilayah.

Mexico turut terjejas teruk, dengan suhu melebihi 40 Celsius (104F) yang menyaksikan lebih 110 orang terkorban akibat suhu tinggi.

United Kingdom (UK) mengalami cuaca paling panas pada Jun, sejak penyimpanan rekod bermula pada 1884. Suhu purata ialah 15.8 Celsius (60.44F), hampir satu darjah lebih tinggi daripada paras tertinggi sebelum ini.

Iran, yang terkenal dengan musim panas terik, menyaksikan suhu mencecah 50 Celsius (122F) di beberapa kawasan.

Di Sepanyol, suhu melonjak ke 44 Celsius (111.2F) sepanjang bulan Jun, menyebabkan lapan daripada 17 pentadbiran autonominya mengeluarkan amaran.

Pakistan dan India turut terkesan akibat musim panas. Insiden berkaitan strok haba meragut sekurang-kurangnya 22 orang di Pakistan, manakala lebih 150 kehilangan nyawa di India.

Bahkan China juga telah mengalami hari paling panas dalam tempoh enam dekad, dengan suhu mencecah sehingga 40 Cesius (104F).

-- BERNAMA