GENEVA: Dunia kini sedang mengharungi tempoh paling ganas sejak Perang Dunia Kedua susulan ketegangan di Asia Barat yang terus meragut nyawa orang awam serta menjejaskan mata pencarian dengan kesan rantaian global, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Dunia kita kini berada dalam keadaan paling ganas sejak Perang Dunia Kedua. Bilangan orang yang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa melarikan diri dari rumah mereka meningkat setiap jam," kata Jorge Moreira da Silva, Pengarah Eksekutif Pejabat Perkhidmatan Projek Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOPS), dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor Xinhua.
Advertisement
Menurut beliau, konflik yang memusnahkan di Asia Barat itu telah melangkaui sempadan dan menggoncang ekonomi dunia di tengah-tengah lonjakan harga minyak, bahan api, serta gas asli yang mendadak.
Beliau menarik perhatian bahawa negara-negara membangun di Asia dan Afrika berkemungkinan besar akan menerima impak yang paling teruk, manakala bilangan penduduk yang hidup dalam kebuluran di seluruh dunia dijangka meningkat berpuluh-puluh juta orang tahun ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya melaksanakan semua resolusi Majlis Keselamatan PBB dan mengakhiri huru-hara serta penderitaan rakyat melalui penyelesaian diplomatik dan aman.
UNOPS, yang dahulunya sebahagian daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), telah ditubuhkan sebagai entiti berasingan yang membiayai diri sendiri dalam sistem PBB pada 1 Jan 1995. Beribu pejabat di Copenhagen, Denmark, ia menyediakan perkhidmatan pengurusan projek, perolehan, dan infrastruktur di lebih 100 negara di seluruh dunia.
--BERNAMA-XINHUA