Skip to main content

Dunia

Dunia perlu bertindak segera hentikan genosid di Gaza - Thiago Avila

Thiago Avila GSF
Avila menegaskan bahawa GSF 2.0 bukan sekadar misi maritim, tetapi merupakan satu usaha memenuhi seruan langsung rakyat Palestin untuk mengingatkan dunia bahawa mereka tidak keseorangan. - Gambar Instagram

BARCELONA: Masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan tegas dan segera menggerakkan usaha menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza, memandangkan situasi berkenaan telah melangkaui krisis kemanusiaan kepada perjuangan global untuk  menegakkan keadilan.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 Thiago Avila berkata sudah tiba masanya untuk kebangkitan global dalam menentang kekejaman sedang berlaku, sambil menegaskan bahawa rakyat Gaza tidak lagi mempunyai ruang untuk sebarang penangguhan.

Advertisement

“Kita tahu bahawa masanya sudah tiba. Gaza tidak boleh lagi menunggu. Iran, Yaman, Lubnan, Venezuela, Cuba dan semua negara di seluruh dunia tidak boleh tunggu. Kita perlu menggerakkan usaha sebelum segalanya terlambat,”  katanya ketika ditemui kurang 24 jam sebelum flotila itu dijadualkan berlayar.

Avila berkata walaupun terdapat perbincangan mengenai gencatan senjata sejak enam bulan lepas, realiti di lapangan masih suram apabila penduduk di Gaza terus terkorban, manakala bantuan asas masih disekat ketat oleh tentera Zionis.

Beliau menegaskan bahawa GSF 2.0 bukan sekadar misi maritim, tetapi merupakan satu usaha memenuhi seruan langsung rakyat Palestin untuk mengingatkan dunia bahawa mereka tidak keseorangan.

Avila berkata bot digunakan bukan perkara paling penting dalam misi berkenaan, sebaliknya kesan yang mampu ditinggalkan terhadap hati dan pemikiran masyarakat, dengan membantu mereka memahami bahawa sudah tiba masanya untuk bertindak dan menggerakkan usaha bersama.

Beliau berkata GSF 2.0 meningkat dua kali ganda dari segi skala, melibatkan 80 buah bot serta ribuan aktivis, berbanding misi terdahulu.

Beliau mengaitkan projek penjajahan yang semakin meningkat serta serangan di rantau itu yang tidak berkesudahan tanpa tindakan tegas di Gaza, yang menurutnya telah membuka ruang kepada gelombang pencerobohan lebih luas di Timur Tengah dan di luar rantau berkenaan.

“Kita tidak mahu diperintah oleh penjenayah perang ini, yang dianggap sebagai antara pihak paling kejam di dunia ketika ini. Kami percaya bahawa kekuatan rakyat apabila digabungkan dan digerakkan secara bersama mampu mengubah dunia,” katanya.

GSF 2.0 dijadualkan berlepas dari Barcelona hari ini, membawa pakatan antarabangsa yang bertekad untuk mencabar pengepungan Israel ke atas Gaza, dan bertindak balas terhadap krisis kemanusiaan serta politik yang semakin meruncing dihadapi rakyat Palestin.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video