DUNIA

Dunia 'tidak selamat' susulan tindakan AS keluar dari WHO - Ketua Pengarah WHO

Bernama 14/01/2026 | 13:15 MYT
Tedros berkata sebahagian besar tugas yang dilaksanakan oleh WHO memberi manfaat kepada Amerika Syarikat. - Gambar fail/Reuters
GENEVA: Ketika Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk keluar secara rasmi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada bulan ini, Ketua Pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran pada Selasa bahawa langkah itu akan menjadikan negara berkenaan dan dunia "tidak selamat", lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Amerika Syarikat bersedia untuk keluar daripada WHO bulan ini, Ketua Pengarah WHO menganggap langkah itu boleh mengancam keselamatan negara dan dunia.
  • Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif penarikan diri pada 20 Jan 2025, notis rasmi diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dua hari kemudian.
  • Tedros dari WHO menegaskan keputusan penarikan diri AS bukan yang terbaik, meminta AS untuk mempertimbangkan semula serta menyertai semula WHO kerana kerjasama itu penting untuk keselamatan negara.


Pada hari pertama beliau kembali ke Rumah Putih pada 20 Jan 2025, Presiden AS Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif untuk menarik diri daripada pertubuhan berkenaan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima notis rasmi mengenai penarikan diri itu dua hari kemudian.

Di bawah piagam organisasi itu, penarikan diri hanya berkuat kuasa setahun selepas notis diberikan.

"Ia sebenarnya bukan satu keputusan yang tepat," kata Tedros, sambil menzahirkan harapan agar Amerika Syarikat akan mempertimbangkan semula keputusan itu dan menyertai semula WHO.

Beliau berkata sebahagian besar tugas yang dilaksanakan oleh WHO memberi manfaat kepada Amerika Syarikat, dan "sebab itulah saya katakan AS tidak boleh selamat tanpa bekerjasama dengan WHO."

Ketua WHO itu juga berkata organisasi berkenaan sedang menangani isu pembiayaannya secara berperingkat menerusi pelarasan belanjawan dan pembaharuan struktur.

--BERNAMA-XINHUA






#Donald Trump #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Rumah Putih #notis rasmi