Presiden Filipina Rodrigo Duterte memberi amaran pada Khamis bahawa beliau mungkin akan melaksanakan undang-undang pemerintahan tentera dan menangguhkan pemilihan bagi puluhan ribu jawatan ketua daerah negara itu.

Perkembangan itu meningkatkan tanda tanya tentang amalan demokrasi Duterte.

Duterte mempertimbangkan untuk melaksanakan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian daripada kempen kontroversi untuk membanteras penyalahgunaan dadah dalam masyarakat.

Undang-undang tentera juga dilihat dapat menyelesaikan banyak lagi masalah ancaman keselamatan lain.

"Jika saya isytihar pemerintahan tentera, saya akan selesaikan semua masalah, bukan sekadar masalah dadah,” ujar Duterte kepada wartawan dalam satu taklimat ringkas selepas pulang dari Thailand.

Duterte berkata, sebagai sebahagian daripada undang-undang ketenteraan, beliau boleh menyiapkan mahkamah tentera untuk membicarakan kes-kes melibatkan pengganas.

"Saya akan membenarkan tentera mendakwa dan mengenakan anda dengan hukuman gantung sampai mati,” ujarnya merujuk kepada kumpulan militan di selatan Filipina.

Sejak menang mudah dalam pilihan raya presiden tahun lalu dan mengambil alih pentadbiran sejak sembilan bulan lalu, Duterte memberi kenyataan yang bercanggah tentang sama ada beliau mahu melaksanakan undang-undang tentera.

Isu tersebut sangat sensitif di Filipina, yang masih mengukuhkan demokrasinya selepas tiga dekad revolusi rakyat yang menggulingkan pentadbiran diktator Ferdinand Marcos.

Duterte juga pada Khamis berkata, beliau merancang untuk melantik sendiri pemimpin daerah (barangay) di 42,000 daerah di seluruh negara dan bukannya melalui pilihan raya umum yang dijadualkan pada Oktober nanti.

"Semua ini mungkin dilakukan memandangkan ramai antara mereka yang terlibat dalam sindiket dadah,” ujarnya.

Pemilihan barangay amat penting pada Filipina kerana ia adalah unit kerajaan paling rendah yang bertanggungjawab untuk perkhidmatan awam seperti klinik kesihatan.

Polis dilaporkan telah membunuh hampir 2,600 orang dalam perang membanteras dadah, hinggakan badan pemantau hak asasi manusia Amnesty International memberi amaran bahawa Duterte sudah dikira melakukan jenayah kemanusiaan.