Skip to main content

Dunia

Ecuador perkukuh sistem elektrik hadapi kemuncak El Nino

Kerajaan Ecuador telah menambah kapasiti penjanaan elektrik sebanyak lebih 400 megawatt dengan memberikan permit serta sokongan kepada sektor swasta, bertujuan memperkukuh kapasiti sistem tersebut. - Gambar hiasan
Kerajaan Ecuador telah menambah kapasiti penjanaan elektrik sebanyak lebih 400 megawatt dengan memberikan permit serta sokongan kepada sektor swasta, bertujuan memperkukuh kapasiti sistem tersebut. - Gambar hiasan

Advertisement

QUITO: Ecuador akan memperkukuh sistem elektriknya terutama di pesisir pantai bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan sepanjang bulan-bulan kritikal El Nino, yang diramal dari akhir November hingga Februari, kata Presiden Daniel Noboa pada Rabu.

"Kita sedang berdepan situasi cuaca yang sangat buruk, terutamanya di sepanjang kawasan pantai, walaupun kawasan tanah tinggi turut terjejas," kata Noboa dalam satu temu bual bersama Radio Centro di bandar Ambato, lapor Xinhua.

Menurut Noboa, cuaca buruk telah menyebabkan peningkatan gangguan bekalan elektrik iaitu kekerapan kejadian gangguan meningkat daripada purata "sekitar 20" kali sehari pada tahun biasa kepada antara 60 hingga 70 kali sehari pada masa ini.

Beliau berkata, kerajaan telah menambah kapasiti penjanaan elektrik sebanyak lebih 400 megawatt dengan memberikan permit serta sokongan kepada sektor swasta, bertujuan memperkukuh kapasiti sistem tersebut.

Pengumuman itu dibuat ketika Ecuador sedang mengalami musim kering, yang dicirikan oleh kekurangan hujan di bahagian selatan negara itu iaitu kawasan yang menempatkan takungan air bagi Kompleks Hidroelektrik Paute, sebahagian daripada Sistem Saling Hubung Negara.

Kompleks berkenaan merupakan sistem hidroelektrik terbesar di negara itu dan membekalkan kira-kira 35 peratus daripada permintaan elektrik nasional.

Pada masa ini, industri besar di Ecuador berdepan gangguan bekalan elektrik sehingga 72 jam seminggu iaitu satu langkah yang diambil untuk mengurangkan penggunaan dan meringankan beban sistem elektrik kebangsaan akibat musim kering.

Pada 2024, negara itu telah melalui krisis tenaga yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan gangguan bekalan elektrik berlarutan hingga 14 jam sehari, yang menjejaskan isi rumah, perniagaan dan sektor industri.

Ecuador pernah dilanda cuaca ekstrem akibat fenomena El Niño pada 1982-1983 dan 1997-1998, yang merangkumi hujan lebat dan banjir, terutamanya di kawasan pesisir pantai.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement