KUALA LUMPUR: Pertumbuhan global dijangka menurun kepada 3.1 peratus tahun ini berbanding 3.5 peratus pada 2025 sebelum pulih kepada 3.4 peratus menjelang 2027, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
IMF melalui Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) Oktober 2026 berkata, ekonomi global bukan bertambah lembap atau melaju, sebaliknya, pertumbuhan diagihkan semula merentas negara mengikut pendedahan mereka terhadap kejutan bekalan akibat perang dan kekuatan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
“Pembukaan semula Selat Hormuz mungkin akan berlaku pada Mac 2027, dengan keadaan pulih secara meluas kepada sebelum perang menjelang Oktober 2027.
“Andaian ini membayangkan pemulihan beransur-ansur ke atas pengeluaran, perkapalan, insurans dan pembayaran berikutan normalisasi serta-merta aliran tenaga,” kata IMF, sambil menambah bahawa memasuki 2027, ketidaktentuan dasar dan geopolitik diandaikan terus tidak stabil,” katanya.
Harga tenaga diunjurkan kekal memuncak berbanding sebelum perang, dengan purata indeks harga petroleum pada 2026 diramalkan pada AS$96 setong, 16 peratus lebih tinggi daripada yang diandaikan di bawah jangkaan rujukan dalam WEO April 2026.
Harga gas asli, diukur dengan menggunakan niaga hadapan Fasiliti Pemindahan Hakmilik, diunjurkan pada AS$20 juta unit terma British atau kira-kira 36 peratus lebih tinggi daripada harga jangkaan rujukan April.
Pada masa yang sama, kitaran teknologi global yang dipacu oleh AI dijangka kukuh, dengan pertumbuhan produktiviti secara amnya diunjurkan kekal konsisten.
IMF berkata, dasar fiskal dalam pasaran baru muncul dan ekonomi membangun dijangka mengecil secara beransur-ansur.
Mengenai inflasi global, IMF berpendapat, inflasi akan melonjak kepada 4.7 peratus pada 2026 daripada 4.1 peratus pada 2025, sebelum berkurangan kepada 4.1 peratus tahun hadapan.
Dalam pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi membangun, yang mana Malaysia berada, pertumbuhan diunjurkan perlahan kepada 3.7 peratus pada 2026 daripada 4.5 peratus pada 2025, sebelum pulih kepada 4.4 peratus menjelang 2027.
“Unjuran bersifat heterogen, mencerminkan perbezaan dalam pergantungan komoditi, pendedahan geografi kepada konflik Asia Barat, kiriman wang dan penerimaan pelancongan, keadaan kewangan, rangka kerja dasar selain kedudukan dalam rantaian nilai teknologi global,” katanya.
IMF menambah, beberapa ekonomi Asia Tenggara diunjurkan mendapat manfaat daripada aktiviti pusat data dan peningkatan dalam kitaran teknologi global serta, dalam beberapa kes, daripada langkah fiskal kecemasan.
-- BERNAMA