Skip to main content

Dunia

Ekonomi Singapura berkembang 5.4 peratus pada suku ketiga 2026

Ekonomi Singapura berkembang 5.4 peratus pada suku ketiga 2026, sedikit perlahan berbanding pertumbuhan 6.2 peratus yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini. - Gambar hiasan/ Reuters
Ekonomi Singapura berkembang 5.4 peratus pada suku ketiga 2026, sedikit perlahan berbanding pertumbuhan 6.2 peratus yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini. - Gambar hiasan/ Reuters

Advertisement

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang 5.4 peratus pada suku ketiga 2026, sedikit perlahan berbanding pertumbuhan 6.2 peratus yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini.

Menurut anggaran awal Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Industri (METI) yang dikeluarkan pada Rabu, berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, ekonomi republik itu berkembang 1.1 peratus berbanding 1.5 peratus pada suku kedua.

Sektor pembuatan pula berkembang 7.5 peratus dalam tempoh tersebut, lebih perlahan berbanding pertumbuhan 12.9 peratus pada suku sebelumnya.

METI berkata, pertumbuhan sektor pembuatan didorong peningkatan pengeluaran dalam kelompok elektronik, kejuruteraan ketepatan, kejuruteraan pengangkutan dan pembuatan am.

Prestasi itu mengimbangi kemerosotan pengeluaran yang dicatatkan dalam kelompok kimia dan pembuatan bioperubatan.

Bagaimanapun, berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, sektor pembuatan menguncup 0.9 peratus berbanding pertumbuhan 6.3 peratus pada suku kedua.

Sementara itu, sektor pembinaan mencatat prestasi lebih kukuh apabila berkembang 8.8 peratus pada suku ketiga, berbanding 6.1 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan itu disokong peningkatan aktiviti pembinaan dalam sektor awam dan swasta.

Berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, sektor pembinaan berkembang 3.4 peratus, sekali gus berbalik daripada penguncupan 2.7 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.

Anggaran awal berkenaan sebahagian besarnya dihitung berdasarkan data bagi dua bulan pertama suku tersebut, iaitu Julai dan Ogos.

Ia berfungsi sebagai petunjuk awal prestasi ekonomi dan boleh disemak semula apabila lebih banyak data tersedia. -CNA

Must Watch Video

Advertisement