Skip to main content

Dunia

Ekonomi Singapura berkembang 5.7 peratus pada suku kedua 2026

41754969464_tbSingapura.jpg
Sektor pembuatan mencatatkan prestasi kukuh pada suku kedua, meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan output kluster elektronik dan kejuruteraan tepat berikutan permintaan berkaitan kecerdasan buatan yang meningkat. - Gambar fail
Advertisement

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 5.7 peratus pada suku kedua 2026, menyusut berbanding pertumbuhan 6.3 peratus dalam tempoh tiga bulan sebelumnya, berdasarkan anggaran awal Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI).

Sektor pembuatan mencatatkan prestasi kukuh pada suku kedua, meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan output kluster elektronik dan kejuruteraan tepat berikutan permintaan berkaitan kecerdasan buatan yang meningkat.

“Selain itu, kluster bahan kimia dan pembuatan bioperubatan pula mengalami penguncupan, dengan sektor bahan kimia terjejas berikutan gangguan bekalan bahan mentah susulan konflik di Asia Barat,” menurut kenyataan MTI pada Selasa.

Menurutnya sektor pembinaan berkembang 6.2 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, disokong oleh peningkatan output pembinaan sektor awam dan swasta.

MTI memaklumkan sektor perdagangan borong dan runcit serta sektor pengangkutan dan penyimpanan secara keseluruhannya berkembang 6.3 peratus, masing-masing dipacu oleh segmen mesin, peralatan dan bekalan serta segmen pengangkutan air.

Kumpulan sektor yang merangkumi teknologi maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans serta perkhidmatan profesional pula meningkat 3.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua.

“Pertumbuhan sektor teknologi maklumat dan komunikasi disokong oleh permintaan kukuh yang berterusan terhadap penyelesaian teknologi maklumat dan digital manakala pertumbuhan sektor perkhidmatan profesional didorong oleh segmen perkhidmatan seni bina dan kejuruteraan, pengujian teknikal serta analisis.

“Sementara itu, pertumbuhan sektor kewangan dan insurans sebahagian besarnya dipacu oleh segmen perbankan dan insurans,” menurut MTI.

Selain itu, pertumbuhan kumpulan sektor perkhidmatan yang merangkumi penginapan dan perkhidmatan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta sektor perkhidmatan lain berjumlah 2.7 peratus.

“Semua sektor dalam kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan pada suku berkenaan kecuali sektor perkhidmatan makanan dan minuman,” menurutnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement