Skip to main content

Dunia

Ekonomi UK berdepan kemelesetan jika Selat Hormuz terus ditutup - Penganalisis

generik London City... kredit AWANI
Ekonomi United Kingdom berisiko mengalami kemelesetan sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka semula sebelum pertengahan tahun depan, menurut firma perakaunan global Ernst & Young. - Gambar hiasan/ Astro AWANI
Advertisement

LONDON: Ekonomi United Kingdom (UK) berisiko mengalami kemelesetan sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka semula sebelum pertengahan tahun depan, menurut firma perakaunan global Ernst & Young (EY).

Ketua Ahli Ekonomi EY UK, Peter Arnold berkata, penutupan berpanjangan laluan perkapalan strategik itu boleh memberi tekanan kepada ekonomi Britain melalui peningkatan inflasi dan gangguan bekalan tenaga.

“Jika Selat Hormuz dibuka semula dalam beberapa bulan akan datang, kami menjangkakan UK dapat mengelakkan kemerosotan ekonomi yang lebih ketara. Namun, sekiranya penutupan berlarutan hingga 2027, ia akan meningkatkan inflasi dan berpotensi menolak ekonomi ke dalam fasa penguncupan tahun depan,” katanya.

Menurut EY, jika Selat Hormuz kekal ditutup sehingga awal atau pertengahan 2027, pertumbuhan ekonomi UK dijangka perlahan kepada 0.5 peratus tahun ini, manakala ekonomi negara itu dijangka menguncup sebanyak 0.2 peratus pada 2027.

Sebaliknya, jika laluan itu dibuka semula menjelang September tahun ini, EY mengunjurkan pertumbuhan ekonomi UK meningkat daripada 0.8 peratus kepada 0.9 peratus bagi 2026, selain berkembang sebanyak 1.2 peratus pada 2027.

Selat Hormuz merupakan antara laluan maritim paling penting di dunia yang menjadi nadi kepada penghantaran minyak dan gas global, sekali gus menjadikan sebarang gangguan di kawasan itu berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi antarabangsa. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement