DUNIA
Ekosistem generatif AI perlu lebih inklusif: Wanita wajar diberi ruang
Ekosistem AI generatif perlu lebih inklusif dengan memberi ruang kepada wanita dalam peranan strategik, kepimpinan industri dan pembangunan teknologi masa depan. - Gambar hiasan/ADOBE STOCK
TIANJIN: Wanita perlu diberi peluang yang lebih luas dalam ekosistem kecerdasan buatan (AI), terutama dalam pembangunan dan pengurusan teknologi generatif yang semakin berkembang pesat. Langkah ini bukan sahaja penting dari sudut keadilan sosial, tetapi juga merupakan strategi ekonomi dan inovasi yang mampan.
Ringkasan AI
- Wanita perlu diberikan ruang lebih besar dalam pembangunan AI generatif, bukan sahaja demi keadilan sosial tetapi sebagai strategi ekonomi dan inovasi yang mampan.
- Penyertaan wanita semakin meningkat di China dalam sektor AI, terutama dalam dasar awam dan pendidikan, namun masih kurang dalam peranan teknikal dan kepimpinan strategik.
- Langkah proaktif sedang diambil termasuk penganjuran forum khas sempena World AI Conference bagi menyokong kepimpinan wanita dan membina komuniti teknologi yang lebih inklusif.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Shanghai Generative Artificial Intelligence Ecosystem Development Co. Ltd., Yang Jingjing, prinsip asas pembangunan AI harus menjamin manfaat untuk semua golongan, termasuk keterangkuman gender pada setiap peringkat daripada penyelidikan dan dasar awam sehinggalah kepada pengkomersialan teknologi.
“Dari sudut teknologi mahupun pasaran, wanita merupakan aset yang tidak boleh dipinggirkan. Maka keterangkuman ini perlu diterapkan sejak dari awal pembangunan sistem AI,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut berkongsi di China, penyertaan wanita dalam bidang berkaitan AI semakin ketara, terutamanya dalam sektor dasar awam, pendidikan dan penyelidikan.
Namun, beliau mengakui bahawa jumlah wanita dalam peranan teknikal seperti kejuruteraan algoritma serta pembuatan keputusan peringkat tinggi masih rendah.
“Kami melihat wanita semakin aktif dalam pembangunan AI yang melibatkan perkakasan pintar serta produk berasaskan gaya hidup dan emosi. Malah, terdapat peningkatan dalam kalangan usahawan wanita yang memimpin syarikat pemula (startups) dalam sektor ini,” katanya.
Sebagai peneraju salah satu inkubator AI terbesar dunia, Yang memaklumkan bahawa komuniti yang dikendalikannya kini menempatkan lebih 600 syarikat AI model besar dalam tempoh hanya 600 hari sejak penubuhan. Ekosistem ini menyediakan pelbagai bentuk sokongan seperti subsidi, kuasa pengiraan, insentif kerajaan dan akses pasaran.
Namun begitu, beliau turut berkongsi realiti yang berlaku dalam kalangan pengurusan atasan.
“Walaupun majoriti pasukan operasi kami terdiri daripada wanita, saya sedar bahawa apabila tiba saat perbincangan strategik dan membuat keputusan besar, sering kali saya seorang sahaja wanita di dalam bilik mesyuarat. Ini menunjukkan perlunya kita wujudkan saluran khusus yang menyokong wanita — bukan sahaja dalam pembangunan kerjaya, tetapi juga dari segi keseimbangan kerja dan keluarga serta kesihatan mental mereka,” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi panel Women in AI sempena World Economic Forum 2025 pada Selasa.
Sebagai langkah permulaan, pihaknya akan menganjurkan satu forum khas bertemakan kepimpinan wanita dalam industri AI sempena World AI Conference yang bakal berlangsung Julai ini. Forum itu bertujuan mengetengahkan tokoh wanita inspiratif, membina komuniti mentor, dan merangsang keyakinan serta rasa kepunyaan dalam kalangan wanita dalam industri teknologi.