ISTANBUL: Gabenor Bank Pusat Iran berkata pada Rabu bahawa eksport minyak negara itu susut kepada sifar akibat perang dan sekatan, namun pihak berkuasa sudah membuat persiapan untuk menguruskan kehilangan hasil berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.
“Tidak syak lagi kami berdepan sekatan terhadap eksport minyak. Saya juga bercakap dengan pihak Iraq dan Qatar; hasil mereka daripada penjualan minyak jatuh kepada sifar. Perkara sama berlaku kepada kami dan hakikatnya kami tidak mengeksport minyak,” kata Abdolnaser Hemmati dalam temu bual yang disiarkan di televisyen.
Beliau berkata kerajaan dan Bank Pusat membuat persiapan yang diperlukan bagi menghadapi situasi sedemikian.
Hemmati berkata perbezaan Iran berbanding Iraq dan Qatar ialah kedua-dua negara itu boleh mengakses rizab bank pusat masing-masing manakala rizab mata wang asing Iran dibekukan oleh AS.
“AS membekukan rizab mata wang asing kami dan tidak membenarkan kami mengeluarkannya,” katanya.
Rakan dagang utama Iraq turut terjejas akibat penutupan Selat Hormuz, gangguan hasil minyak
Hemmati turut berkata dana Iran yang dijangka akan dikeluarkan di bawah perjanjian rangka kerja damai yang dicapai Tehran dengan Washington pada Jun -- Memorandum Islamabad, yang bertujuan membuka jalan ke arah perjanjian muktamad yang masih belum dimuktamadkan -- masih belum dikeluarkan.
“Isu persefahaman Islamabad dan pelepasan sumber adalah perkara berasingan. Sumber yang sepatutnya dikeluarkan di bawah persefahaman ini masih belum dikeluarkan,” katanya.
Mengulas lawatan terbarunya ke Iraq, Hemmati berkata Iran mempunyai hubungan politik dan ekonomi yang kukuh dengan negara jirannya itu.
Sebelum perang, Iran mengeksport barangan dan perkhidmatan bernilai US$12 bilion ke Iraq setiap tahun, termasuk US$4 bilion yang berkaitan dengan kerajaan Iraq seperti gas dan elektrik, serta US$8 bilion melibatkan sektor swasta, katanya.
Hemmati berkata Iraq berjanji untuk menyelesaikan bayaran tertunggak kepada Iran, sambil menyatakan Baghdad sendiri berdepan kesukaran susulan penutupan Selat Hormuz dan gangguan terhadap hasil minyak.
Perbincangan diadakan bagi memudah cara pemindahan dan penggunaan dana Iran yang disimpan di sebuah bank Iraq, sambil menegaskan bahawa Tehran menjangkakan keadaan bertambah baik,.
Hemmati turut berkata dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Iraq, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengusahakan penggunaan sumber di Trade Bank of Iraq bagi menyokong jaminan yang dikeluarkan kepada kontraktor Iran yang beroperasi di Iraq.
Perdana Menteri Iraq meluluskan cadangan itu dan mengeluarkan arahan bagi memudah cara langkah berkenaan, katanya.
Sekatan AS sekian lama menyasarkan eksport minyak Iran dan akses negara itu kepada saluran kewangan antarabangsa, dengan Washington berusaha menyekat sumber utama hasil mata wang asing Tehran.
Kenyataan Hemmati dibuat ketika ketegangan ketenteraan antara Iran dan AS kembali meningkat susulan kegagalan pengaturan di bawah perjanjian rangka kerja Jun serta tercetus semula pertempuran antara kedua-dua pihak.
-- BERNAMA-ANADOLU