NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk dilaporkan membelanjakan kira-kira AS$366 juta (RM1.5 bilion) bagi membantu Parti Republikan mengekalkan penguasaan mereka ke atas Kongres Amerika Syarikat (AS) dalam pilihan raya pertengahan penggal 2026.
Menurut laporan Reuters yang memetik rekod pembiayaan kempen, sebanyak AS$276 juta daripada jumlah itu disalurkan sejak Julai lalu kepada pelbagai kumpulan politik Republikan dan juga jawatankuasa tindakan politik (PAC) miliknya sendiri, America PAC.
Perbelanjaan itu dilihat berlaku ketika peluang Parti Demokrat untuk merampas semula kawalan terhadap Dewan Perwakilan dan Senat semakin meningkat.
Laporan yang sebelum ini diterbitkan The New York Times menyifatkan Musk berkemungkinan menjadi penyumbang politik individu terbesar dalam pilihan raya tahun ini.
Jurucakap America PAC mengesahkan jumlah sumbangan berkenaan, yang meliputi keseluruhan kitaran pilihan raya bermula 1 Januari 2025.
Daripada AS$276 juta yang disumbangkan pada suku ketiga tahun ini, AS$158 juta disalurkan kepada Senate Leadership Fund, sebuah super PAC yang menyokong calon Republikan ke Senat dan sejajar dengan Pemimpin Majoriti Senat, John Thune.
Sebanyak AS$20 juta pula diberikan kepada Congressional Leadership Fund yang menyokong calon Republikan bagi Dewan Perwakilan, manakala AS$76 juta disalurkan terus kepada America PAC milik Musk.
Selain itu, AS$10 juta diberikan kepada Lone Star Liberty PAC yang menyokong pencalonan Peguam Negara Texas, Ken Paxton, ke Senat AS. Jumlah sama turut disalurkan kepada Republican Governors Association.
Musk turut menyumbang AS$2 juta kepada Republican Attorneys General Association.
America PAC kini aktif membantu calon Republikan di tujuh negeri medan pertempuran utama serta hampir tiga dozen kerusi Dewan Perwakilan yang menjadi tumpuan pertandingan sengit.
Butiran sumbangan terbaharu itu dijangka didedahkan secara rasmi apabila beberapa super PAC mengemukakan laporan perbelanjaan suku ketiga mereka pada Khamis.
Menurut laporan itu lagi, Musk turut menyalurkan dana melalui beberapa organisasi yang tidak mendedahkan identiti penderma mereka kepada umum.
Sebagai perbandingan, Musk membelanjakan kira-kira AS$290 juta sepanjang kitaran pilihan raya terdahulu. - Agensi