Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Elon Musk fail saman terhadap Apple dan Open AI, dakwa gergasi teknologi sekat persaingan AI

Astro Awani 26/08/2025 | 01:00 MYT
Musk mendakwa Apple telah memanipulasi sistem untuk menyekat pesaing ChatGPT seperti chatbot Grok yang dibangunkan oleh syarikatnya sendiri, xAI. - Foto fail/REUTERS
TEXAS: Elon Musk, melalui syarikat kecerdasan buatannya xAI dan platform media sosial X, telah memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan Texas terhadap Apple dan OpenAI, mendakwa mereka menjalinkan kerjasama eksklusif yang menindas pesaing dan mengekalkan monopoli dalam pasaran AI dan telefon pintar.


Ringkasan AI
  • Elon Musk fail saman terhadap Apple dan OpenAI, dakwa kerjasama eksklusif mereka sekat pesaing dan wujudkan monopoli dalam pasaran AI serta telefon pintar.
  • ChatGPT diintegrasi secara eksklusif dalam peranti Apple, didakwa menyekat akses pengguna kepada alternatif seperti Grok, chatbot AI ciptaan xAI.
  • Saman rujuk pelanggaran Akta Sherman, dengan Musk gesa tindakan terhadap dominasi pasaran - Apple kuasai 65% telefon pintar, OpenAI pegang 80% chatbot generatif.


Saman tersebut menyatakan bahawa Apple dan OpenAI telah “mengunci pasaran” dengan mengintegrasikan ChatGPT secara eksklusif ke dalam sistem operasi iPhone, iPad dan Mac, sekali gus menyekat akses pengguna kepada alternatif seperti Grok - chatbot AI yang dibangunkan oleh xAI.

Apple dan OpenAI dilaporkan mengumumkan kerjasama eksklusif pada Jun 2024, menjadikan ChatGPT satu-satunya chatbot generatif yang diintegrasi secara langsung ke dalam peranti Apple.

Musk mendakwa langkah ini menyekat aplikasi pesaing seperti Grok daripada mendapat kedudukan utama di App Store, walaupun mempunyai ciri inovatif dan responsif.

Saman tersebut menuduh kedua-dua syarikat melanggar Akta Sherman, termasuk cubaan memonopoli dan konspirasi untuk memonopoli pasaran AI dan telefon pintar.

Apple dikatakan menguasai 65 peratus pasaran telefon pintar, manakala OpenAI mengawal lebih 80 peratus pasaran chatbot AI generatif.

OpenAI membalas dengan menyifatkan tindakan Musk sebagai “corak gangguan berterusan” dan menolak dakwaan tersebut sebagai tidak berasas.

Apple belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung saman itu.

Elon Musk merupakan pengasas bersama OpenAI pada 2015 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan, namun kini menentang hala tuju syarikat itu yang beralih kepada model komersial.

xAI, yang dilancarkan kurang dua tahun lalu, bersaing secara langsung dengan OpenAI dan telah mengintegrasikan Grok ke dalam kenderaan Tesla serta platform X.







#Elon Musk #saman #Apple #OpenAI