DUNIA

Elon Musk 'tidak sebenar-benar tinggalkan' White House, kata Donald Trump

Agensi 30/05/2025 | 22:45 MYT
Musk (kiri) menamatkan perkhidmatannya selepas 130 hari beliau berkhidmat sebagai "pegawai kerajaan khas" kepada Presiden Trump iaitu tempoh maksimum yang dibenarkan mengikut status tersebut.
WASHINGTON: Peranan Elon Musk dalam pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, secara rasmi berakhir dalam satu sidang media di Oval Office, White House, di sini, pada Jumaat.

Namun, menurut Trump, bilionair teknologi itu "tidak sebenar-benar meninggalkan" dan dijangka terus berulang-alik ke White House.

"Ini adalah projeknya," kata Trump merujuk kepada usaha Musk dalam DOGE, singkatan kepada Department of Government Efficiency, sebuah badan penasihat yang diwujudkan untuk memotong perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan hutang negara AS yang kini mencecah AS$36 trilion (kira-kira RM170 trilion).

Musk menamatkan perkhidmatannya selepas 130 hari beliau berkhidmat sebagai "pegawai kerajaan khas" iaitu tempoh maksimum yang dibenarkan mengikut status tersebut.

Dalam sidang media itu, Trump dan Musk mempertahankan inisiatif DOGE walaupun ia menerima kritikan hebat, terutamanya selepas berlaku pemecatan besar-besaran dalam agensi persekutuan dan pemansuhan sebahagian besar program USAID, agensi bantuan luar utama AS.

Situasi itu turut menimbulkan kesan kepada syarikat-syarikat milik Musk seperti Tesla, yang berdepan protes global dan kempen boikot, menyebabkan jualan merosot ke paras terendah dalam beberapa tahun.

Namun, Trump tetap memuji sumbangan Musk yang disifatkan telah membantu melaksanakan "program reformasi kerajaan paling besar dan berimpak dalam beberapa generasi".

Beliau turut berkata, DOGE berjaya mengubah cara pemikiran pegawai kerajaan persekutuan dengan menumpukan kepada pengesanan penipuan dan pengurangan pembaziran.

Menurut laman web DOGE, setakat 29 Mei, inisiatif itu dikatakan telah menjimatkan AS$175 bilion wang kerajaan.

Bagaimanapun, analisis BBC pada April lalu mendedahkan hanya AS$61.5 bilion yang diperincikan secara terperinci, dan hanya AS$32.5 bilion daripadanya disokong dengan bukti jelas.

Meskipun secara rasmi menamatkan peranannya, Trump menegaskan, Musk akan terus memainkan peranan tidak rasmi: "Dia akan berulang-alik (ke White House). Saya rasa dia masih akan lakukan banyak perkara."

Musk pula memberi jaminan bahawa DOGE akan terus berusaha mencapai sasaran penjimatan AS$1 trilion.

Pertemuan antara Trump dan Musk itu berlangsung beberapa hari selepas temubual Musk bersama CBS, rakan media BBC di Amerika Syarikat, di mana beliau meluahkan kekecewaan terhadap rang undang-undang besar yang digelar Trump sebagai “besar dan cantik”, termasuk potongan cukai bernilai trilion dolar dan peningkatan bajet pertahanan.

Walaupun sebelum ini Musk menyatakan, rang undang-undang itu bercanggah dengan matlamat DOGE, namun, beliau enggan mengulas lanjut ketika sidang media tersebut.

Sebaliknya, Trump mempertahankannya dan menyifatkannya sebagai undang-undang yang “menakjubkan” dan “melakukan perkara luar biasa.”

"Tapi ada dua perkara yang saya nak lihat - mungkin potong sedikit lagi. Saya mahu potongan cukai yang lebih besar," kata Trump.

Pada sidang media itu juga menyaksikan beberapa detik luar jangka termasuk apabila Musk ditanya tentang laporan New York Times yang mendakwa, beliau mengambil dadah secara berlebihan sepanjang kempen Trump 2024.

Musk segera memotong pertanyaan itu dan merujuk kepada keputusan mahkamah yang membenarkan Trump meneruskan saman fitnah terhadap Washington Post dan New York Times berhubung laporan kaitan antara kempen Trump 2016 dan Rusia.

“New York Times itu?” balas Musk. “Kita teruskan.”

Musk turut ditanya mengenai kesan lebam di matanya.

Beliau dengan berseloroh menjawab: “Saya tidak berada dekat dengan Perancis,” merujuk insiden membabitkan Perdana Menteri Perancis, Emmanuel Macron dan isterinya.

Katanya, lebam itu berpunca daripada ‘pukulan’ anaknya yang dikenali sebagai X Æ A-12 atau ringkasnya
‘X’.

“Rupa-rupanya, walaupun ditumbuk oleh budak lima tahun pun memang sakit juga - itu kerja X,” selorohnya. - Agensi





#Elon Musk #Donald Trump #Elon Musk letak jawatan #White House #penasihat Trump