Emir baharu Kuwait terima peletakan jawatan kabinet

Bernama
Disember 21, 2023 05:00 MYT
Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri Sheikh Ahmad Nawaf Al-Ahmad Al-Sabah, akan terus berfungsi sebagai kerajaan sementara untuk menguruskan perkara-perkara mendesak sehingga Kabinet baharu dibentuk. - Foto AP
KUWAIT CITY: Emir baharu Kuwait Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah berkenan menerima peletakan jawatan kabinet pada Rabu, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Kuwait (KUNA).
Menurut KUNA, Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri Sheikh Ahmad Nawaf Al-Ahmad Al-Sabah, akan terus berfungsi sebagai kerajaan sementara untuk menguruskan perkara-perkara mendesak sehingga Kabinet baharu dibentuk.
Pada Rabu, Sheikh Mishal secara rasmi memegang jawatan Emir pada majlis angkat sumpah di Parlimen.
Baginda bertitah bahawa akauntabiliti memainkan peranan amat penting dalam rangka kerja undang-undang.
"Kedua-dua pihak berkuasa perundangan dan eksekutif mesti melaksanakan tugas mereka demi kepentingan negara dan rakyatnya," titah baginda.
Emir berusia 83 tahun itu menggesa kerajaan dan Parlimen untuk mengkaji situasi semasa daripada perspektif seperti keselamatan, ekonomi dan sara hidup rakyat.
Baginda juga mengulangi komitmen terhadap kerjasama di rantau Teluk dan antarabangsa.
Baginda menggantikan kekandanya Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah yang mangkat pada usia 86 tahun pada Sabtu lepas.
Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah menjadi Emir ke-17 negara itu.
-- BERNAMA
#peletakan jawatan #kabinet #emir baharu #Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah