Emmanuel Macron angkat sumpah jawatan presiden penggal kedua

Astro Awani
Mei 7, 2022 23:30 MYT
Emmanuel Macron ketika hadir pada majlis mengangkat sumpah sebagai presiden untuk penggal kedua di Istana Elysee, Paris, Perancis, 7 Mei 2022. REUTERS
EMMANUEL Macron mengangkat sumpah bagi jawatan Presiden Perancis bagi penggal kedua pada Sabtu.
Dalam ucapannya pada majlis yang berlangsung di Istana Presiden Elysee, di Paris, beliau berjanji akan mengetuai negara itu dengan matlamat untuk berkhidmat kepada rakyat.
Di Perancis, bukan menjadi kelaziman seseorang presiden itu dipilih semula.
Namun, Macron memenangi pilihan raya presiden pada 24 April lalu, mengalahkan calon haluan kanan Marine Le Pen dengan 58.5 peratus undi.
"Setiap hari sempena mandat baharu ini, kompas saya hanya satu, iaitu berkhidmat.
"Berkhidmat untuk negara, memenuhi kemahuan dan kebebasan orang ramai, berkhidmat kepada rakyat, yang menyayangi negara ini sebagai aset penting, berkhidmat kepada kanak-kanak dan belia, yang kepada mereka saya berikrar akan menurunkan planet yang lebih selesa untuk didiami dan Perancis yang lebih kukuh dan aman," katanya.
Dalam ucapan itu, Macron turut menyentuh mengenai ancaman pencerobohan Rusia terhadap Ukraine dan kebimbangan alam sekitar global.
Majlis angkat sumpah Macron turut dihadiri beberapa presiden terdahulu, termasuk Francois Hollande dan Nicolas Sarkozy.
Kira-kira 500 tetamu hadir pada majlis itu, di mana presiden Majlis Perlembagaan membacakan keputusan pilihan raya.
Penggal kedua Macron, untuk lima tahun lagi, akan bermula secara rasmi pada 14 Mei.
#Emmanuel Macron #angkat sumpah #presiden #pilihan raya