Empat anak singa Gaza jadi korban ribut musim dingin

Agensi
Januari 19, 2019 23:45 MYT
Empat ekor anak singa di zoo Gaza yang mati akibat kesejukan melampau. - Reuters
Makhluk yang digelar sebagai ‘raja’ dalam dunia haiwan juga akur dengan kuasa ekstrem alam.
Begitulah nasib yang dialami empat anak singa di zoo Gaza pada Jumaat lalu apabila kesemuanya mati akibat kesejukan melampau gara-gara terjahan angin kencang sewaktu ribut musim dingin, lapor Reuters.
Angin kencang telah mengoyakkan lapisan plastik pelindung di kandang haiwan tersebut, sekali gus membuatkan ibu singa tidak dapat bertahan untuk memberi kehangatan yang mencukupi untuk anak-anaknya.
Khabar kesedihan itu dikongsi oleh penjaga zoo berkenaan, yang turut dilaporkan oleh pelbagai media tempatan dan serantau.
Dua ekor anak singa dijumpai mati pada Khamis, sehari selepas dilahirkan, ujar pemilik zoo, Fathy Joma. Dua ekor lagi pula mengalami kesukaran bernafas dan usaha untuk memulihkan kedua-duanya dengan penghangat kuasa elektrik tidak berjaya.
Binatang-binatang lain di zoo persendirian itu bagaimanapun dapat bertahan semasa ribut tersebut melanda, termasuk ibu singa dan pasangannya, serta seekor lagi anak singa yang berusia 14 bulan.
#cuiaca ekstrem #Gaza #musim sejuk #ribut salji #singa