Empat anggota keselamatan Thailand cedera dalam letupan bom di Yala

Bernama
Disember 24, 2018 20:50 MYT
Dua dari empat anggota terbabit, yang sedang meronda menggunakan motosikal di Daerah Yaha, wilayah Yala, mengalami kecederaan parah. - Gambar hiasan
Empat anggota keselamatan Thailand cedera apabila sebutir bom meletup ketika mereka sedang meronda menggunakan motosikal di Daerah Yaha, di wilayah bergolak Yala, selatan Thailand pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Kol Thawat Sonthornpoj, empat anggota terbabit bersama empat rakan mereka yang lain sedang mengawal keselamatan sekumpulan guru ketika kejadian pada 8.30 pagi (waktu tempatan) di Kampung Kenya itu.
"Dua dari empat anggota terbabit itu mengalami kecederaan parah," katanya kepada pemberita.
Dalam kejadian berasingan di Ban Sedang, Pattani, enam lelaki bertopeng menyamun sekumpulan empat pengawal keselamatan di sebuah sekolah dan melarikan empat senapang patah milik mereka.
Ketua Polis Pattani Mej Jen Piyawat Chalermsi berkata, kejadian pada 8.30 malam Ahad (waktu tempatan) melibatkan enam penyerang yang lengkap bersenjata.
Pihak polis masih menjalankan siasatan serta motif kejadian itu.
-- BERNAMA
#anggota keselamatan #Ban Sedang #bom #cedera #guru #keselamatan #lelaki #lelaki bertopeng #letupan #motosikal #Pattani #polis #rondaan #samun #Selatan Thai #Thailand