ISTANBUL: Empat orang cedera manakala 15 rumah mengalami kerosakan selepas serpihan dua peluru berpandu jelajah yang dipintas jatuh di Riyadh, lapor Anadolu Ajansi.
Pertahanan Awam Arab Saudi memaklumkan bahawa peluru berpandu yang dilancarkan Houthi berjaya dipintas pada Selasa, namun serpihannya menyebabkan dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak cedera.
Agensi itu memaklumkan bahawa prosedur kecemasan telah dilaksanakan susulan kejadian berkenaan.
Dalam pengumuman berasingan, jurucakap pakatan diketuai Arab Saudi, Turki al-Maliki berkata pasukan pakatan itu turut memintas dan memusnahkan sebuah lagi peluru berpandu jelajah di Al-Kharj, tenggara Riyadh.
Sementara itu, Kementerian Tenaga Arab Saudi memaklumkan bahawa sebuah bangunan pentadbiran milik Saudi Aramco di bandar Dhahran menjadi sasaran serangan pada petang Selasa sehingga mencetuskan kebakaran kecil.
Menurut kementerian, pasukan kecemasan telah bertindak balas terhadap kejadian berkenaan dan mengambil langkah sewajarnya, sambil mengesahkan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Terdahulu pada Selasa, pakatan diketuai Arab Saudi memaklumkan bahawa pihaknya telah memintas dan memusnahkan enam peluru berpandu serta dron yang dilancarkan kumpulan Houthi ke arah negara itu.
Al-Maliki berkata pasukan pakatan telah memintas peluru berpandu yang menuju ke Haradh dan Dhahran, manakala pakatan itu turut melaporkan serpihan jatuh di kawasan kediaman di Dhahran.
Pakatan itu juga melaporkan bahawa pihaknya berjaya memintas peluru berpandu jelajah dan dron di wilayah Riyadh serta kawasan selatan Arab Saudi.
-- BERNAMA-ANADOLU