SYDNEY: Empat lelaki dimasukkan ke hospital selepas cedera ditikam dalam dua kejadian berasingan di barat dan barat daya Sydney pada malam Ahad, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan polis, pasukan kecemasan dikerah selepas menerima laporan seorang lelaki ditemukan dengan kesan tikaman di pinggir bandar Bidwill, kira-kira 40 kilometer ke barat pusat Sydney, pada 8.10 malam Ahad.
Mangsa berusia 38 tahun itu diberikan rawatan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital dengan kecederaan yang mengancam nyawa.
Beberapa jam kemudian, polis memaklumkan tiga lelaki berusia 24, 23 dan 18 tahun mendapatkan rawatan di sebuah hospital di barat daya Sydney pada waktu berbeza selepas tengah malam dengan kecederaan akibat tikaman.
Ketiga-tiga mereka kemudiannya dipindahkan ke bahagian trauma, dengan dua mangsa lebih berusia berada dalam keadaan serius tetapi stabil, manakala mangsa berusia 18 tahun dilaporkan stabil.
Polis dimaklumkan bahawa ketiga-tiga lelaki itu terbabit dalam satu pertelingkahan di luar sebuah premis makanan segera.
Polis telah menutup kedua-dua lokasi kejadian untuk siasatan dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi penyiasat.
-- BERNAMA-XINHUA