[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Empat lelaki ditahan pancar imej Trump, Epstein di Istana UK

Bernama 18/09/2025 | 11:30 MYT
Ribuan orang berarak di pusat bandar London membantah lawatan negara kedua Trump yang bersejarah itu. - Gambar/ Reuters
LONDON: Empat lelaki yang ditahan selepas imej Donald Trump bersama Jeffrey Epstein dipancarkan ke Istana Windsor telah dibebaskan dengan ikat jamin, lapor PA Media/dpa pada Khamis.

Polis Thames Valley (TVP) berkata empat lelaki itu, berusia antara 36 dan 60 tahun, ditahan pada malam Selasa atas syak wasangka melakukan komunikasi berniat jahat selepas aksi di kediaman diraja tersebut.

Mereka dibebaskan dengan ikat jamin bersyarat pada malam Rabu sehingga 12 Disember sementara siasatan diteruskan, menurut pihak polis.

"Mereka yang ditahan sedang disiasat untuk beberapa kesalahan yang mungkin, termasuk komunikasi berniat jahat dan kacau ganggu awam," kata jurucakap TVP.

Filem sembilan minit yang dihasilkan oleh kumpulan kempen politik British "Led By Donkeys" itu menceritakan sejarah kaitan presiden Amerika Syarikat (AS) tersebut dengan Epstein, termasuk pendedahan baru-baru ini oleh penggubal undang-undang AS mengenai dokumen yang dikatakan mengandungi surat daripada Trump kepada ahli kewangan pedofil itu untuk meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

Filem itu dipancarkan dari bilik hotel dengan pemandangan terus ke istana sebagai tindakan "protes damai," kata jurucakap kumpulan kempen itu pada Rabu.

"Rakan-rakan saya ditahan kerana komunikasi berniat jahat, yang kedengaran tidak masuk akal, kerana kami telah melakukan 25 atau 30 pancaran sebelum ini, tidak pernah ada sesiapa pun yang ditahan," kata jurucakap itu.

"Jadi secara tiba-tiba, kerana ia melibatkan Trump, anda mendapat reaksi ini, yang mengejutkan, mengecewakan, dan sangat berat sebelah daripada polis.

"Saya rasa mereka ditahan kerana memalukan Donald Trump."

Raja Charles dan Permaisuri Camilla menyambut presiden AS dan isterinya Melania di Istana Windsor pada Rabu.

Trump memberikan penghormatan kepada hubungan Amerika dengan UK semasa majlis santapan negara, dengan mengatakan perkataan "istimewa tidak cukup untuk menggambarkannya."

Tiada acara yang melibatkan orang awam diadakan sepanjang program Trump di Britain, dengan kawalan keselamatan diperketat susulan dua cubaan bunuh ke atas beliau dalam tempoh setahun lebih serta pembunuhan sekutu rapatnya, Charlie Kirk.

Di pusat bandar London, ribuan orang berarak membantah lawatan negara kedua Trump yang bersejarah itu.

Sebahagian membawa kain rentang bertulis "No to racism, no to Trump", manakala ada juga yang mengangkat belon gergasi berbentuk bayi Trump setinggi 20 kaki, simbol protes yang mula muncul semasa lawatan negara pertama beliau ke Britain pada 2019.

-- BERNAMA



#Donald Trump #Jeffrey Epstein #UK #United Kingdom