DUNIA

Empat maut, berpuluh-puluh hilang akibat tanah runtuh di utara India

Bernama 05/08/2025 | 22:10 MYT
Bangunan kediaman ditenggelami banjir lumpur susulan kejadian tanah runtuh di Dharali, Uttarakhand, India, 5 Ogos 2025. REUTERS
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya empat orang maut manakala lebih 50 lagi dilaporkan hilang akibat kejadian tanah runtuh di negeri Uttarakhand, utara India pada Selasa.

Pasukan penyelamat daripada Tentera Darat India dan agensi tindak balas bencana dikerahkan ke lokasi kejadian di Dharali, kawasan yang terletak kira-kira 220 kilometer dari ibu negeri Dehradun.

Tentera Darat India memaklumkan bahawa lebih 20 mangsa telah diselamatkan selepas tanah runtuh berlaku berhampiran Perkampungan Dharali, kira-kira empat kilometer daripada kem tentera di Harshil sekitar 1.45 tengah hari waktu tempatan.

"Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan, dengan semua sumber yang ada digerakkan bagi mengesan serta membantu mangsa yang mungkin masih terkandas," menurut kenyataan itu.

Rakaman video di media sosial menunjukkan beberapa bangunan runtuh selepas dihentam aliran lumpur deras.

Media tempatan melaporkan puluhan individu dihanyutkan selepas tanah runtuh berlaku susulan fenomena hujan lebat luar biasa.

Angka korban dijangka meningkat.

Hujan lebat musim monsun turut menyebabkan kemusnahan di beberapa kawasan lain di India.

Banyak kematian turut dilaporkan di negeri Uttar Pradesh dalam beberapa hari kebelakangan ini apabila air sungai melimpah dan membanjiri kawasan sekitarnya.

-- BERNAMA

#India #tanah runtuh #bangunan runtuh #hujan lebat