OREGON: Seorang guru bertindak berani cuba menghalang seorang penyerang bersenjata sebelum suspek ditembak mati oleh bapa kepada dua murid dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah rendah di Bend, Oregon, yang meragut empat nyawa.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kejadian di Silver Rail Elementary School pada Khamis itu mengorbankan seorang guru serta tiga kanak-kanak berusia lima, lapan dan 11 tahun.
Ketua Polis Bend, Mike Krantz, berkata guru berkenaan terlebih dahulu membaling telefon bimbit ke arah suspek sebelum bergelut dengannya dalam usaha melucutkan senapang patah yang digunakan dalam serangan itu.
"Tindakan guru itu amat berani dan heroik," katanya pada sidang media.
Krantz berkata suspek kemudian ditembak beberapa kali oleh seorang bapa murid yang memasuki bilik darjah berkenaan dengan membawa sepucuk pistol berkaliber .40.
Bapa berkenaan dikenal pasti oleh keluarganya sebagai Kaylub Giamanco, penduduk Bend yang mempunyai dua anak perempuan yang bersekolah di Silver Rail Elementary.
Menurut laporan CBS News, suspek dikenali sebagai Griffin John, 16 tahun.
Pihak berkuasa memaklumkan remaja itu maut di tempat kejadian selepas ditembak oleh Giamanco.
Insiden itu menggemparkan komuniti setempat dan mencetuskan sekali lagi perdebatan mengenai isu keganasan senjata api serta keselamatan di sekolah-sekolah Amerika Syarikat.
Siasatan berhubung motif serangan masih diteruskan.