NARATHIWAT: Seorang anggota polis dan tiga lelaki yang disyaki anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN) maut, manakala dua anggota renjer cedera dalam insiden berbalas tembakan di Daerah Si Sakhon, Narathiwat, pagi semalam.
Pusat Penerangan Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC-4) mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan di Kampung Tengor, Mukim Sibonpot, ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan rondaan.
Menurut ISOC-4, anggota keselamatan yang melakukan rondaan berjalan kaki mengesan sebuah rumah yang mencurigakan dan dipercayai diduduki anggota kumpulan pemisah sebelum menghampirinya untuk menjalankan pemeriksaan.
“Ketika anggota keselamatan menghampiri rumah berkenaan, mereka ditembak oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali yang bersembunyi di dalamnya, sekali gus mencetuskan insiden berbalas tembakan,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
ISOC-4 berkata seorang anggota polis berusia 51 tahun yang bertugas di Balai Polis Si Sakhon ditemukan maut di tempat kejadian.
"Tiga lelaki yang disyaki anggota BRN turut maut di dalam rumah berkenaan, dengan identiti mereka telah dikenal pasti," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, dua anggota renjer berusia 34 dan 35 tahun yang cedera akibat terkena tembakan di bahagian pinggang dan belakang telah dibawa menggunakan helikopter ke Hospital Narathiwat untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA