DUNIA

Empat maut termasuk tiga kanak-kanak dalam insiden tembakan di majlis hari jadi di California

Agensi 30/11/2025 | 23:40 MYT
Anggota polis mengawal keselamatan di lokasi tembakan yang meragut empat nyawa di Stockton, California, pada Ahad. - Gambar AP
CALIFORNIA: Sekurang-kurangnya empat orang termasuk tiga kanak-kanak maut dalam insiden tembakan di sebuah majlis keluarga di Stockton, California, menurut pihak berkuasa.

Mangsa berusia lapan, sembilan, 14 dan 21 tahun, manakala 11 lagi cedera dalam kejadian yang berlaku di sebuah restoran di utara negeri itu, kata jurucakap Pejabat Sheriff San Joaquin County pada Ahad.

Suspek masih bebas dan polis percaya insiden itu mungkin bermotifkan sasaran tertentu.

Timbalan Datuk Bandar Stockton sebelum ini memaklumkan, kejadian berlaku ketika majlis hari jadi kanak-kanak, namun polis hanya mengesahkan ia sebagai perhimpunan keluarga.

“Majlis hari jadi sepatutnya menjadi tempat keluarga bergembira, bukan berdepan ketakutan,” tulis Timbalan Datuk Bandar Jason Lee di media sosial.

Menurut pihak berkuasa, tembakan berlaku sekitar jam 6 petang waktu tempatan dan mereka merayu orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman video tampil membantu siasatan.

Jurucakap Heather Brent menyifatkan insiden itu sebagai “tidak dapat dibayangkan” dan menegaskan siasatan masih aktif.

Datuk Bandar Stockton, Christina Fugazi, menyifatkan kejadian itu sebagai “tidak boleh diterima.”

“Keluarga sepatutnya bersama, bukan berada di hospital berdoa agar orang tersayang selamat,” katanya.

California mempunyai undang-undang senjata api yang ketat, namun ia berdepan cabaran sejak beberapa tahun lalu termasuk keputusan mahkamah yang membatalkan larangan senjata serangan seperti AR-15 pada 2021 dan keputusan Mahkamah Agung AS pada 2022 yang memperluas hak membawa senjata. - Agensi



#insiden tembakan #tembakan di majlis hari jadi #tembakan di California #kanak-kanak maut