INTERNATIONAL
Enam agensi PBB gesa gencatan senjata Gaza
Sekurang-kurangnya 1,000 kanak-kanak terbunuh atau cedera dalam minggu pertama selepas pertempuran disambung semula. - Foto fail/UNICEF
NEW YORK: Enam ketua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru kepada pembaharuan segera gencatan senjata di Gaza, pada Isnin.
Mereka memberi amaran bahawa wilayah itu kini berdepan kekurangan bantuan dan kebuluran selepas Israel menyambung semula serangan berskala penuh.
Menurut kenyataan bersama, tiada bekalan kemanusiaan baharu dibenarkan memasuki Gaza sejak Israel menyekat kemasukan trak bantuan pada 2 Mac lalu.
Ketika ini rundingan bagi fasa seterusnya gencatan senjata yang telah terbatal gagal menemui jalan penyelesaian dengan Israel menyambung semula serangannya pada 18 Mac.
Kenyataan itu menyebut, lebih 2.1 juta orang kini terperangkap, dibom dan dibiarkan kelaparan, manakala bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan tempat perlindungan terkandas di pintu masuk.
Kenyataan itu yang ditandatangani ketua enam agensi PBB termasuk Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dan Program Makanan Sedunia (WFP).
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 1,000 kanak-kanak terbunuh atau cedera dalam minggu pertama selepas pertempuran disambung semula, menjadikan ia minggu paling berdarah bagi kanak-kanak sepanjang tahun lalu.
Mereka berkata, PBB sedang menyaksikan tindakan peperangan di Gaza yang langsung tidak menghormati nyawa manusia.
Justeru kesemua enam agensi PBB itu merayu kepada para pemimpin dunia untuk bertindak dengan tegas, segera dan berani bagi memastikan prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipatuhi.
Agensi-agensi PBB turut memberi amaran mengenai kekurangan bekalan makanan dan perubatan yang semakin kritikal di Gaza.
Menurut kenyataan itu, 25 buah kedai roti yang sebelum ini disokong WFPp semasa gencatan senjata terpaksa ditutup akibat kekurangan tepung dan gas memasak.
Menurut pegawai Palestin, lebih 50,000 penduduk Gaza telah terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel.