LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya enam orang cedera manakala 42,000 lagi diarahkan berpindah susulan kebakaran hutan yang merebak pantas ke arah Reno, sebuah bandar di barat laut Nevada berhampiran sempadan Nevada-California, menurut pihak berkuasa pada Ahad, lapor Xinhua.
Kebakaran yang bermula pada Sabtu setakat ini merebak meliputi lebih 13,000 ekar (kira-kira 53 kilometer persegi) dan masih belum dapat dikawal, kata pegawai bomba pada sidang media Ahad.
Menurut pegawai, mangsa yang cedera terdiri daripada tiga orang awam dan tiga anggota pasukan tindak balas kecemasan, manakala 45,000 lagi berada dalam zon amaran pemindahan.
Mereka turut mengesahkan beberapa struktur musnah dalam kebakaran itu.
Kira-kira 10,000 pengguna terputus bekalan elektrik di Washoe County pada Ahad.
Reno ialah pusat pentadbiran daerah itu serta bandar paling ramai penduduk di Washoe County.
Gabenor Nevada Joe Lombardo mengisytiharkan darurat di Washoe County pada malam Sabtu.
“Keadaan ini masih aktif dan berubah dengan pantas, dan saya menggesa semua penduduk di kawasan terjejas supaya terus berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
“Kerajaan negeri terlibat sepenuhnya dan kami bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta anggota tindak balas kecemasan untuk menggerakkan segala sumber yang ada bagi melindungi nyawa, menjaga keselamatan komuniti dan memastikan penduduk Nevada terhindar daripada Bahaya," kata Lombardo dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA-XINHUA