Skip to main content

Dunia

Enam maut ditembak di pusat ibu dan kanak-kanak di Jerman

Forensic experts work at the scene after police said suspects have been detained following a deadly shooting at a youth welfare facility in the northern town of Stade, Germany, June 29, 2026. REUTERS/Jonas Walzberg
Pakar forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas polis mengesahkan beberapa suspek ditahan susulan insiden tembakan maut di sebuah pusat kebajikan belia di bandar Stade, utara Jerman. - Foto REUTERS
Advertisement

STADE: Enam individu terbunuh dalam satu kejadian tembakan di sebuah pusat kebajikan ibu dan kanak-kanak di Stade, utara Jerman, dipercayai berpunca daripada pertikaian hak penjagaan seorang kanak-kanak.

Menurut pihak berkuasa Jerman, mangsa terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki, yang kesemuanya merupakan kakitangan pusat berkenaan.

Beberapa individu lain turut dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.

Polis memaklumkan bahawa seorang bayi perempuan berusia tiga bulan serta ibunya berada di premis itu ketika kejadian berlaku, namun kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tiga individu, termasuk suspek utama, telah ditahan bagi membantu siasatan. Pihak berkuasa turut mengesahkan bahawa tiada lagi ancaman terhadap keselamatan awam.

Menteri Dalam Negeri negeri Lower Saxony, Daniela Behrens, berkata siasatan awal mendapati serangan itu dipercayai dilakukan atas sebab-sebab kekeluargaan.

“Ini adalah satu tindakan keganasan yang dilakukan dengan sangat kejam dan tidak mempunyai sebarang motif politik atau ekonomi,” katanya kepada media.

Menurut polis, laporan mengenai bunyi tembakan diterima sekitar jam 12.10 tengah hari waktu tempatan.

Pasukan keselamatan kemudian mengesahkan berlakunya beberapa pembunuhan di sebuah kemudahan kebajikan belia di Jalan Dankerstrasse dan mengarahkan orang ramai menjauhi kawasan tersebut.

Lima mangsa dilaporkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialami.

Ketua Polis Lueneberg, Kathrin Schuol, berkata suspek ialah seorang lelaki berusia 45 tahun dan menetap di Hanover.

Menurut beliau, suspek mempunyai janji temu di pusat itu pada hari kejadian bagi membincangkan isu hak penjagaan anak perempuannya yang masih bayi bersama beberapa kakitangan yang kemudian menjadi mangsa serangan.

“Sebelum ini dia pernah direkodkan dalam siasatan berkaitan ugutan, namun tidak dianggap sebagai individu yang mempunyai kecenderungan keganasan serius,” katanya.

Schuol turut memaklumkan bahawa suspek tidak memiliki lesen senjata api.

Selepas kejadian, suspek melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang wanita.

Rakaman video yang disiarkan media tempatan menunjukkan polis berjaya memintas sebuah kereta Mercedes di sekatan jalan raya berhampiran sebelum menahan suspek bersama individu lain.

Pasukan polis bersenjata dan anggota kecemasan dikerahkan dalam jumlah besar ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan dan menjalankan siasatan.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa kanak-kanak yang berada di sebuah pusat jagaan harian dan sekolah rendah berhampiran telah dibawa pulang oleh ibu bapa masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

Bandar Stade, yang mempunyai kira-kira 50,000 penduduk, terletak sekitar 30 kilometer di barat Hamburg.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan bagaimana suspek memperoleh senjata yang digunakan dalam serangan tersebut.

 

Must Watch Video

Advertisement