ISTANBUL: Pihak berkuasa Iran pada Selasa berkata enam orang terbunuh dan sembilan cedera dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel di kawasan perumahan di bandar barat laut Tabriz, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.
Dua lokasi kediaman di dalam bandar itu diserang semalaman, kata jabatan pengurusan krisis di Azerbaijan Timur dalam kenyataan yang disiarkan oleh Mehr News Agency.
Advertisement
Menurut kenyataan itu, enam orang terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam salah satu serangan yang menyasarkan kejiranan Shahid Qarabaghi di bandar itu. Operasi menyelamat dan mengalihkan serpihan masih diteruskan.
Satu lagi serangan melanda kawasan kejiranan Imam Hussein, merosakkan kemudahan infrastruktur, menurut jabatan itu namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
AS dan Israel meneruskan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, mengorbankan setakat ini lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu Ali Khamenei.
Tehran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, menyebabkan korban dan kerosakan pada infrastruktur yang menjejaskan pasaran global dan penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU