DUNIA

Enjin terbakar ketika berlepas, pesawat Delta Airlines mendarat cemas di Los Angeles

Astro Awani 20/07/2025 | 04:10 MYT
Pesawat Delta Airlines DL446 mendarat cemas di LAX selepas enjin terbakar sejurus berlepas. -Gambar Youtube Channel / L.A FLIGHTS
LOS ANGELES: Sebuah pesawat Delta Airlines yang dalam perjalanan ke Atlanta terpaksa berpatah balik dan mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX) selepas enjinnya dilaporkan terbakar sejurus berlepas.


Ringkasan AI
  • Pesawat Delta Airlines DL446 mendarat cemas di LAX selepas enjin terbakar sejurus berlepas, tiada kecederaan dilaporkan.
  • FAA siasat enjin GE CF6, insiden ini kali kedua dalam tujuh bulan melibatkan kebakaran enjin pesawat Delta.
  • Delta Airlines komited bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menilai semula protokol keselamatan operasi.


Insiden pada Jumaat itu melibatkan penerbangan DL446 dengan pesawat Boeing 767-400ER, menurut kenyataan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan api keluar dari enjin kiri pesawat ketika ia sedang mendaki di ruang udara Los Angeles.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Jurucakap Delta Airlines memaklumkan bahawa kru penerbangan bertindak secara berhati-hati selepas menerima isyarat masalah pada enjin dan mengisytiharkan kecemasan kepada kawalan trafik udara (ATC).

Pesawat kemudian berpatah balik dan mendarat dengan selamat kira-kira 15 minit selepas berlepas.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan 224 penumpang dan anak kapal.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang melibatkan enjin jenis GE CF6 itu.

Ini merupakan insiden kedua melibatkan kebakaran enjin pesawat Delta Airlines dalam tempoh tujuh bulan, selepas kejadian serupa berlaku pada Januari membabitkan penerbangan DL105 ke Sao Paulo.

Rakaman insiden tersebut turut disiarkan secara langsung oleh saluran YouTube LA Flights menunjukkan pesawat berlegar di ruang udara kawasan Downey dan Paramount sebelum mendarat semula di LAX.

Delta Airlines menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan dan sedang menilai semula protokol keselamatan operasi mereka.










#Delta Airlines #DL446 #Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles #mendarat cemas #enjin terbakar