ISTANBUL: Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Rabu menyatakan bahawa Turkiye sedang melaksanakan "rayuan dan inisiatif perlu" bagi meredakan ketegangan, melanjutkan tempoh gencatan senjata, serta meneruskan rundingan berhubung serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Kerajaan Israel, yang sememangnya diketahui tidak senang dengan proses gencatan senjata ini, tidak seharusnya dibenarkan untuk mensabotaj usaha berkenaan," kata Erdogan semasa mesyuarat kumpulan parlimen Parti Keadilan dan Pembangunan (AK).
Advertisement
Beliau menegaskan bahawa rundingan tidak boleh dijalankan dalam keadaan "tangan yang digenggam", sambil menambah bahawa senjata tidak seharusnya dibiarkan "berbicara" lagi melainkan kata-kata.
"Ruang peluang yang dibuka melalui gencatan senjata ini mesti dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.
Erdogan turut memuji Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez atas pendirian tegasnya terhadap ancaman Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Gaza.
"Kami akan terus melabel penindas sebagai penindas, lanun sebagai lanun, dan pembunuh sebagai pembunuh. Kami akan terus menjadi suara kepada kanak-kanak di Gaza serta mendengar rintihan ibu-ibu yang luluh hati mereka," katanya.
Erdogan turut menyatakan komitmen Turkiye untuk terus mempertahankan hak rakyat Palestin di Tebing Barat yang tanahnya diduduki, serta membela nasib kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan di Lubnan.
“Kami sentiasa sedia menjadi suara kedamaian dan menerajui usaha perdamaian dengan prinsip keamanan di rumah, keamanan serantau dan keamanan dunia,” tegasnya.
Mengulas mengenai kritikan Netanyahu terhadap dirinya dan Turkiye, Erdogan mengingatkan pemimpin Israel itu bahawa Republik Turkiye bukanlah sebuah negara biasa.
Pada Sabtu, Kementerian Luar Turkiye menyelar kenyataan Netanyahu yang menyasarkan Erdogan, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai reaksi terhadap rasa tidak selesa pemimpin Israel itu terhadap kebenaran yang disuarakan Turkiye di pelbagai platform antarabangsa.
Kementerian itu dalam satu kenyataan turut merujuk kepada waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Netanyahu atas dakwaan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.
Turkiye turut mengulangi tekadnya untuk memastikan Netanyahu bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan, selain terus menyokong orang awam yang tidak bersalah.
-- BERNAMA-ANADOLU